Abstrak
Mac 2021 - Penulis telah maklum melalui facebook tentang ketibaan pelajar-pelajar Malaysia baru, terutamanya tajaan JPA, yang telah tiba di Berlin dan Köln (Cologne). Selamat maju jaya penulis ucapkan kepada mereka. Tempoh 3, 4 tahun (atau lebih - nauzubillah) berikutnya akan mencabar setiap pelajar di sini.
 |
10 Julai 2006, Frankfurt am Main: Penulis dan rakan-rakan seperjuangan semasa tiba kali pertama di Jerman. Berlepas dari KLIA pada malam 9 Julai 2006 - ketika perlawanan akhir Piala Dunia 2006 antara Itali dan Perancis berlangsung di Berlin.
|
Tulisan ini bermatlamat untuk menunjukkan perjalanan pelajar kejuruteraan di negara Jerman, tanpa mengira latar belakang dari negara mana pun. Penulis menggunakan 2 kursus siswazah kejuruteraan (undergraduate) berikut sebagai contoh:
- B. Sc. Mechatronik (Mechatronics Engineering) di Technische Hochschule Mittelhessen (Uni. of Applied Sciences Mittelhessen) - alma mater penulis,
- Diplom-Ingenieur (FH) Elektronik (E & E) di Westsächsiche Hochschule Zwickau - antara universiti Jerman yang masih menawarkan ijazah Diplom (FH) - yang bertaraf lebih tinggi daripada Bachelor, dan bawah daripada Master.
In a nutshell, setiap pelajar akan melalui fasa-fasa berikut dalam kursus kejuruteraan di sini:
- Vorpraktikum/Grundpraktikum - foundation practical training,
- Grundstudium: foundation semesters, 3 semester pertama,
- Hauptstudium: main semesters - subjek-subjek utama,
- Praktikum: internship - latihan praktikal,
- Abschlussarbeit: sama ada Bachelorarbeit atau Diplomarbeit - tesis akhir.
 |
Fasa-fasa pengajian kejuruteraan di universiti Jerman.
|
Fasa 0: Vorpraktikum/Grundpraktikum
Latihan praktikal untuk kemahiran-kemahiran asas kejuruteraan, e.g.,
- Metallbearbeitung: basic metal processing, seperti milling,
- Schweißen: welding, kimpalan logam,
- Basic electronics: soldering, circuits,
- Pneumatik dan hidraulik
Fasa ini sangat digalakkan untuk dilalui SEBELUM pelajar memulakan pengajian di universiti. Tidak wajib, tetapi MESTI ditamatkan sebelum pelajar dibenarkan untuk mengambil apa-apa peperiksaan daripada Hauptstudium. Selalunya pelajar-pelajar tajaan MARA dan JPA telah pun melengkapi fasa ini di Malaysia.
 |
2005, Kuala Lumpur: Penulis dan rakan sekelas semasa latihan praktikal Pneumatics di German-Malaysian Institute.
|
Fasa 1: Grundstudium (foundation semesters)
3 semester pertama ini merangkumi subjek-subjek asas seperti Mathematik, Physik, Technische Mechanik, Allgemeine Elektrotechnik dan lain-lain. Sesetengah universiti menggunakan fasa ini untuk 'menapis' pelajar-pelajar yang betul-betul layak untuk maju ke Hauptstudium, dengan mengetatkan kriteria untuk lulus peperiksaan atau menggunakan syllabus yang sukar.
Spoiler: akan ada pelajar yang drop out ketika fasa ini. Mereka akan mengambil kursus lain atau mengaji di universiti lain, sama ada bermula dari kosong semula, atau membawa kredit yang telah dikumpulkan daripada subjek-subjek yang telah lulus.
Fasa 2: Hauptstudium (main semesters)
Fasa ini merangkumi subjek-subjek yang lebih fokus dan mencabar, e.g., Robotik, Thermodynamik. Vorpraktikum/Grundpraktikum harus ditamatkan dengan mendapatkan pengiktirafan fakulti untuk sijil latihan asas praktikal tersebut, kerana hanya dengan pengiktirafan ini, pelajar akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan subjek-subjek Hauptstudium dan melalui fasa-fasa berikutnya.
Semasa semester terakhir fasa ini juga, pelajar digalakkan untuk mencari tempat di industri untuk Praktikum (internship). Maka bermulalah job hunting - menghantar CV/resumé melalui email, atau menggunakan portal-portal karier syarikat-syarikat.
Fasa 3: Praktikum dan subjek elektif
 |
4 Mei 2009, München (Munich): Penulis dan rakan-rakan Praktikanten (interns) lain pada hari pertama di HQ syarikat automotif MAN Nutzfahrzeuge AG (kini MAN Trucks and Bus).
|
Jika rezeki memihak kepada pelajar, syarikat di Jerman akan menawarkan tempat latihan praktikal. Tempoh praktikal umumnya bergantung kepada syarat universiti: 10 minggu, 20 minggu. Elaun akan dibayar oleh syarikat dan elaun ini TIDAK tertakluk kepada cukai sepanjang tempoh wajib Praktikum itu.
Sepanjang pengetahuan penulis, syarikat-syarikat Jerman lebih gemar jika pelajar menjalani Praktikum lebih lama daripada 3 bulan. Jika tempoh Praktikum itu dilanjutkan, elaun yang diterima oleh pelajar akan dikenakan cukai, kerana Praktikum itu telah berubah daripada 'Pflichtpraktikum' (mandatory internship) kepada 'freiwilliges Praktikum' (voluntary internship). Cukai akan dikecualikan sekiranya elaun itu dikira sedikit, yakni kurang daripada 450 Euro seperti gaji Minijob (jarang kerana selalunya elaun ini lebih tinggi, bergantung kepada lokasi dan syarikat).
Fasa 4: Abschlussarbeit (tesis)
Untuk memasuki fasa ini, proses yang sama seperti untuk mendapatkan tempat Praktikum akan dilalui: menghantar surat/e-mail permohonan atau menggunakan portal-portal karier syarikat-syarikat. Sekali lagi, sekiranya rezeki memihak kepada pelajar: syarikat yang sama di mana pelajar melalui Praktikum juga akan menawarkan terus tempat untuk pelajar menulis tesis Abschlussarbeit di situ. Umumnya, elaun juga akan dibayar sepanjang tempoh tersebut.
Umumnya, fasa tesis ini boleh didaftar di universiti hanya selepas pelajar telah tamat semua fasa sebelumnya: Praktikum dan lulus semua peperiksaan.
Penulisan tesis akan diselia oleh individu-individu seperti:
- Industrieller Betreuer: industrial supervisor - selalunya bos kepada pelajar di syarikat,
- Hochschulbetreuer/Gutachter: 2 orang profesor dari universiti: seorang sebagai penyelia dan hakim pertama untuk tesis pelajar, seorang lagi sebagai hakim kedua.
Selepas tesis dihantar kepada universiti, profesor penyelia akan menamakan tarikh untuk pelajar membentangkan tesis tersebut (viva, defense).
 |
20 Disember 2011, Friedberg (Hessen): Penulis dan 2 profesor yang menjadi penyelia dan hakim tesis, selepas berjaya membentangkan Diplomarbeit penulis. Lihat link ini: Diplom-Ingenieur (FH) Mohamad Hafiz Jaafar.
|
Kesimpulan
Dengan tamatnya semua fasa tersebut, seseorang individu itu layak untuk menggunakan academic title 'B. Sc.', 'B. Eng.' atau 'Dipl.-Ing.(FH)' di negara Jerman ini. Di Jerman tiada keperluan untuk professional title 'Ir.' seperti di Malaysia.
Sekali lagi penulis ucapkan selamat maju jaya kepada setiap pelajar baru Malaysia di Jerman ini. Viel Erfolg, alles Gute, und toi-toi-toi!
Silakan membaca artikel-artikel lain daripada penulis tentang pengajian universiti di Jerman:
- Pengajian Universiti di Negara Jerman Bagi Lepasan SPM
- Belajar di Jerman: Modul Kursus dan Pengiraan GPA/CGPA