Sunday, December 6, 2020

Belajar di Jerman: Modul Kursus dan Pengiraan GPA/CGPA

Artikel ini ditujukan kepada pelajar Malaysia di Jerman yang bakal, baru, atau sudah pun memulakan pengajian di universiti masing-masing. Objektif artikel ini adalah untuk menggalakkan pelajar-pelajar merancang pengajian mereka di sini dari awal lagi.
*Artikel ini paling sesuai untuk dibaca dari skrin komputer.

Dua perkara utama yang akan dikupas dalam artikel ini ialah:

  • modul kursus
  • pengiraan GPA/CGPA

Modul kursus

Untuk memahami modul kursus masing-masing, setiap fakulti (Fachbereich) menyediakan dokumen-dokumen yang berkemungkinan dipanggil seperti berikut:

  • Prüfungordnung atau Studienordnung (evaluation/examination system)
  • Modulhandbuch (module handbook): menyenaraikan sukatan pembelajaran (syllabus)

Prüfungsordnung/Studienordnung

Satu contoh dokumen ini daripada Technische Hochschule Mittelhessen (THM),
untuk kursus Bachelor Mechatronik:

Dokumen ini pada dasarnya ialah 'perlembagaan' atau constitution setiap kursus pengajian. Ia menyatakan peraturan untuk mengambil peperiksaan, latihan praktikal (Praktikum), projek dan penulisan tesis.


Dokumen Prüfungsordnung kursus Bachelor Mechatronik di TH Mittelhessen [1].

Gambarajah berikut pula menyenaraikan modul atau subjek-subjek Semester 1 hingga 3 kursus Bachelor Mechatronik di TH Mittelhessen:

Overview semester 1 hinga 3 kursus Bachelor Mechatronik di TH Mittelhessen [1].

Antara istilah-istilah penting (keywords) yang harus diberikan perhatian dalam dokumen Prüfungsordnung/Studienordnung ialah:

  • Kreditpunkte / Leistungspunkte (credit points): jam kredit
  • Semesterwochenstunde (lecture hours): bilangan blok mingguan Vorlesung dengan 90 minit per blok.
  • Vorlesung (lecture)
  • Übung (tutorial / exercise)
  • Labor (laboratory): sesi makmal
  • Note (grade): gred

Pengiraan GPA and CGPA

GPA ialah singkatan bagi grade point average atau purata nilai gred (PNG),
Dengan memahami pengiraan GPA dan CGPA (cumulative grade point average), setiap pelajar dapat membuat pertimbangan tentang keutamaan subjek-subjek
setiap semester.

Spektrum gred di Jerman dapat disenaraikan seperti berikut:

  • 1,0 -> 1,3: hervorragend / sehr gut (excellent, very good, cemerlang)
  • 1,7 -> 2,3: gut (good, bagus)
  • 2,7 -> 3,3: befriedigend (satisfactory, memuaskan)
  • 3,7 -> 4,0: ausreichend (passed, lulus)
  • 5,0: durchgefallen (failed, gagal)

*Di Jerman, tanda koma digunakan sebagai titik perpuluhan.
Spektrum gred ini juga menunjukkan bahawa semakin rendah gred (Note) itu, semakin bagus penilaiannya.

Formula untuk pengiraan GPA dapat dirumuskan seperti berikut:
GPA = ( sum of (Gred x CP) ) / (sum of CP)

Berikut ialah contoh 2 pelajar dalam semester 1 kursus Bachelor Mechatronik daripada THM:


Contoh perbandingan gred 2 orang pelajar semester 1, kursus Bachelor Mechatronik di TH Mittelhessen.

Perbezaan antara kedua-dua pelajar dalam contoh itu ialah gred untuk subjek Elektrotechnik 1, yang membawa 10 CP. Pelajar 1 lebih cemerlang dalam subjek itu. Oleh sebab itu produk CP dan Note miliknya lebih rendah iaitu 17,0 (lihat cell E6 dan E17).

Pengajaran daripada contoh ini: pelajar harus mengutamakan subjek-subjek yang mempunyai CP yang tinggi.

Berikut pula ialah contoh pengiraan CGPA dari semester 1 hingga 3 bagi kursus yang sama:

Contoh pengiraan CGPA dari semester 1 hingga 3.

Jumlah kumulatif produk CP dan Note ialah 163.5, manakala jumlah kumulatif CP ialah 92.
Maka CGPA setelah 3 semester ialah 163.5 bahagi 92 iaitu 1.78 (hingga 2 tempat perpuluhan, lihat cell E37).

Kesimpulan

Dengan membuat inisiatif seperti spreadsheet ini, pelajar seharusnya dapat membuat projection atau pengunjuran untuk CGPA sendiri.
Projection awal ini dapat mempengaruhi motivasi pelajar untuk menumpukan usaha dalam mencapai sasaran masing-masing.

Sumber:

[1] Prüfungsordnung Mechatronik Bachelor 2020, Version 1, 2020-12-06


No comments: