Sunday, May 23, 2021

Bekerja di Jerman: Pengalaman Lazim

Dalam artikel ini, penulis ingin berkongsi pengalaman lazim atau tipikal yang dihadapi oleh semua orang yang bekerja di negara Jerman ini. Penulis mengolah tentang dokumen-dokumen rasmi, pencarian pekerjaan dan suasana di tempat kerja secara ringkas.

Steueridentifikationsnummer - nombor identiti cukai

Lambat laun apabila seseorang warga asing, terutamanya pelajar, tiba di negara Jerman, akan sampai surat daripada Bundeszentralamt für Steuern atau BZSt (Jabatan Pusat Persekutuan untuk Percukaian Jerman). Surat itu mengandungi nombor identiti seseorang dalam sistem percukaian negara Jerman, yakni Steueridentifikationsnummer. Nombor ini haruslah dijaga setiap masa, kerana akan diperlukan setiap kali kita mendapat pekerjaan yang sah di negara Jerman ini.

Nombor identiti ini ada 11 aksara, unik, dan kekal sepanjang hidup (Sumber: Was ist eine Steuer-ID und wo bekomme ich her? 2021-05-23).

 

Sozialversicherung - social security

Bagaimanakah BZSt mendapat tahu alamat kita masing-masing di sini? Barangkali daripada agensi insurans kesihatan kita, data kita akan dikongsi bersama-sama jabatan-jabatan kerajaan Jerman yang lain, seperti Sozialversicherung (social security). Sozialversicherung ini bertanggungjawab untuk menerima insurans pencen seseorang (Rentenversicherung). Ada satu dokument penting iaitu Sozialversicherungsausweis (social security pass) - yang akan diterima oleh masing-masing ketika menerima pekerjaan yang pertama sekali di Jerman (Sumber: Deutsche Rentenversicherung, 2021-05-23).

Contoh Sozialversicherungsausweis - social security pass (Sumber: Deutsche Rentenversicherung, 2021-05-23).

 

Führungszeugnis - certificate of conduct

Führungszeugnis ini ibarat sijil kelakuan baik di negara Jerman ini. Sijil ini boleh didapati daripada Bürgeramt (majlis perbandaran) dalam lokaliti masing-masing, dengan bayaran tertentu yang tidak mahal pun. Jika sijil ini diperlukan oleh majikan anda, kosnya akan dibayar semula oleh majikan tersebut. Jika anda mewakili pertubuhan-pertubuhan sukarelawan, seperti penulis yang merupakan pastor kecemasan untuk komuniti Muslim Frankfurt (Salam e.V. Frankfurt), sijil ini akan diisukan secara percuma.
 
Führungszeugnis ini akan menyatakan sama ada seseorang itu ada dalam rekod polis di mana-mana atau tidak. Sijil ini juga diperlukan untuk penulis yang bekerja dalam bidang perkhidmatan kewangan (financial services) di Frankfurt.

Contoh Führungszeugnis - sijil kelakuan negara Jerman (Sumber: Bundesamt für Justiz, 2021-05-23)

 

Arbeitsvertrag - kontrak pekerjaaan

Sama ada pekerjaan di Jerman itu tetap atau sementara, setiap pekerjaan itu mesti disahkan dengan sesuatu kontrak bertulis - yakni Arbeitsvertrag. Kontrak ini merupakan satu dokumen perjanjian antara majikan dan pekerja - menyatakan perkara utama seperti hak masing-masing, bilangan hari cuti, dan angka gaji.

Kontrak ini selalunya diperlukan untuk menyokong permohonan visa dan permit pekerjaan daripada Ausländerbehörde (jabatan imigresen).
Contoh Arbeitsvertrag atau kontrak kerja (Sumber: IHK Offenbach - Arbeitsvertrag (Muster), 2021-05-23)

Arbeitserlaubnis - permit pekerjaan

Dokumen ini diisukan oleh Ausländerbehörde dalam bandar masing-masing. Selagi anda belum mendapat taraf pemastautin tetap atau Permanent Residentship, selagi itulah anda harus pergi memperbaharui Arbeitserlaubnis anda sebelum memulakan pekerjaan baru di Jerman ini.

Permit pekerjaan untuk pelajar asing

Untuk seseorang pelajar asing di Jerman ini, terutamanya yang bukan dari negara Kesatuan Eropah (European Union), visa pelajar masing-masing selalunya juga ditambahkan satu ayat yang ringkas - pelajar ini hanya dibenarkan bekerja tidak lebih 120 hari atau 240 setengah hari dalam setahun. CUKUP - ayat ini berserta visa pelajar asing itu telah menjadi dokumen permit pekerjaan di Jerman (Sumber bahan bacaan: Deutsches Studentenwerk - Arbeiten im Studium, 2021-05-23).
 
Tempoh 120 hari itu harus dikira secara literal - iaitu 120 darab 24 jam - maka seseorang pelajar asing bukan warga EU itu boleh bekerja sambilan tidak lebih daripada 2880 jam setahun.

 

Pencarian pekerjaan di Jerman

Penulis pernah berkongsi tentang pengalaman mencari kerja pada tahun 2015: Job Hunting in Germany. Dari zaman penulis sebagai pelajar universiti, pelbagai cara digunakan untuk mencari pekerjaan di negara Jerman ini. Ketika zaman universiti, penulis rajin ke career fair - di bandaraya Köln, Stuttgart, Frankfurt dan Darmstadt.
 
Penulis juga dulu suka melihat-lihat papan kenyataan di fakulti universiti - ada-ada sahaja iklan untuk pekerjaan sementara (Werkstudenttätigkeit), latihan praktikal, dan penulisan tesis yang ditujukan khas kepada pelajar-pelajar fakulti.

Selain itu, ada laman-laman web seperti StepStone, Monster, dan Accenture juga menjadi enjin pencarian pekerjaan di Jerman ini. Syarikat-syarikat besar seperti Daimler, BMW, Continental, Siemens, dan ThyssenKrupp, selalunya mempunyai portal pencarian pekerjaan sendiri.

Tiga dokumen penting dalam misi mencari kerja di sini:
  • Motivationsanschreiben - surat pengenalan
  • Lebenslauf - resumé atau curriculum vitae (CV)
  • Zeugnisse - sijil-sijil
Motivationsanschreiben boleh dijadikan penulisan utama dalam e-mail terus kepada syarikat yang menjadi sasaran kita. Sepanjang pengetahuan penulis, penulisan ini TIDAK perlu seperti karangan berjela-jela. Cukuplah dengan 1 perenggan permulaan, perenggan utama yang dibuat dalam bentuk bullet point, dan perenggan terakhir.
Contoh perenggan utama dalam Motivationsanschreiben.
 
Pertaruhan utama pencarian pekerjaan ialah Lebenslauf/resumé masing-masing.
Resumé penulis dalam bahasa Jerman.

 

Temuduga kerja

Jika seseorang itu mendapat jemputan untuk datang ke sesi temuduga secara bersemuka, itu ialah petanda yang sangat baik, kerana proses penapisan permohonan selalunya dilalui dengan ketat.
 
Kos pengangkutan - untuk datang ke temuduga di bandar lain bukanlah sesuatu yang murah. Selalunya syarikat Jerman yang menjemput anda untuk bertemuduga, akan menawarkan penanggungan kos pengangkutan seperti tiket keretapi dan bayaran teksi.

Pakaian - dari dulu sehingga sekarang, penulis berpakaian secara smart-casual untuk temuduga jawatan jurutera dan software engineer/developer. Sudah memadai dengan kemeja berlengan panjang (digosok), seluar jeans gelap (yang tidak lusuh atau bertompok-tompok), dan kasut kulit hitam.
Julai 2017: Penulis di Old Town Sachsenhausen, Frankfurt - setelah baru pulang dari satu temuduga yang berjaya di bandar Rüsselsheim, berpakaian smart-casual.

 

Suasana di pejabat

Perkara utama pada hari pertama anda pergi bekerja di Jerman: di pejabat sudah disediakan air minuman - sama ada air mineral dalam botol, dari mesin dispenser, ataupun air paip yang sudah disahkan sebagai bersih dan selamat untuk diminum terus.

Kadangkala, majikan memang bermurah hati dengan menyediakan mesin kopi untuk pekerja-pekerja. Malahan ini juga ditekankan sebagai bahan tarikan oleh sesuatu syarikat dalam iklan pekerjaan masing-masing: kopi dan buah-buahan segar percuma untuk setiap pekerja.
Mesin kopi berkualiti tinggi di pejabat penulis.

Harijadi di pejabat dalam Jerman - mengikut budi bicara masing-masing, harijadi akan dihebahkan sebagai berita baik dalam pejabat, selalunya dalam jabatan sendiri. Rakan-rakan sekerja akan datang bergilir-gilir menghulurkan salam (the famous German handshake, sumber: German culture greetings, 2021-05-23 ) dan ucapan tahniah. Si fulan yang menjadi birthday kid hari itu lazimnya membelanjakan kek untuk rakan-rakan lain.

Febuari 2020 - Donut yang dibelanjakan oleh seorang rakan sekerja penulis sempena harijadinya.

2017 - Kek yang dibelanjakan oleh penulis di pejabat sempena harijadi ke 3*. Sebelah kiri ialah Rhabarberkuchen (rhubarb pie) dan sebelah kanan ialah Streuselkuchen - kedua-duanya dibeli daripada satu bakeri Jerman di Darmstadt.

Pergaulan di pejabat selalunya bersifat profesional. Kita tidak bertanya soalan-soalan peribadi kepada seseorang rakan sekerja - adakah dia telah berkahwin, berapakah anak yang dia ada, dan sebagainya, melainkan rakan itu sendiri yang membuka mulut berkongsi sendiri hal peribadinya.
 
Rakan-rakan sekerja TIDAK akan menjadi 'friends' di facebook (jika ada akaun) - kerana bersifat peribadi. Tetapi platform LinkedIn dan Xing diterima tanpa banyak soalan.
 
Ada event tertentu menjadi tempat untuk bergaul mesra dengan rakan-rakan sekerja tanpa tekanan, seperti larian maraton dan barbeku.
Jun 2019 - Penulis (kiri) di belakang rakan-rakan sekerja ketika menyertai larian JP Morgan di Frankfurt.



Disember 2017 - penulis dan rakan-rakan sekerja ketika operasi perpindahan syarikat ke bangunan baru di Frankfurt.

 

Kesimpulan

Bekerja di Jerman ialah suatu pengalaman yang tidak ternilai bagi penulis. Penulis bersyukur dengan rezeki diterima bekerja di negara ini selepas tamat pengajian universiti.

3 comments:

Jack_Han95 said...

Nice sharing! Sekiranya ingin pulang ke Malaysia for good, can we reclaim our tax?

Hafiz Jaafar said...

Hallo Jack_Han95, terima kasih.

My take for your question there, it's kind of almost impossible.
The possible one would be pension, and the process could be very bureaucratic, I suppose.

Short answer - no, not 100%.

Ardi Shah Erwan Abd Rahim said...

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya.. Terbaik tuan