Saturday, January 13, 2024

Cara-cara mencari pekerjaan di Jerman dari Malaysia

Penulis telah biasa menerima mesej-mesej di platform sosial media seperti X (Twitter), facebook dan TikTok, yang bertanyakan tips atau cara-cara mencari pekerjaan di negara Jerman. Dalam tulisan ini, penulis cuba untuk memberikan cara-cara dan pendekatan yang seumum mungkin, semoga bermanfaat untuk semua pembaca.

Penulis di atas kapal Primus-Linie di sungai Main, Frankfurt, Sep. 2019.

Latar belakang pendidikan tinggi penulis

Penulis ingin memaklumkan pembaca bahawa penulis mula bekerja terus di Jerman sejak pertengahan 2015, selepas tamat pengajian universiti di sini, tanpa pulang ke Malaysia terlebih dahulu.
  • Ijazah sarjana muda Dipl.-Ing. (FH) kejuruteraan mekatronik, Technische Hochschule Mittelhessen
  • Ijazah sarjana M. Sc. Computer Vision and Photonics, Hochschule Darmstadt.

Bacaan sampingan pilihan

Penulis menggalakkan para pembaca untuk meluangkan masa membaca di laman-laman ini:

Langkah-langkah mencari pekerjaan di Jerman

(Penulis menggalakkan pembaca menggunakan fungsi terjemahan ke dalam bahasa Inggeris, kerana laman-laman web berikut kebanyakannya berpaksikan negara dan bahasa Jerman.)

1. Memulakan pencarian di portal-portal karier

2. Belajar bahasa Jerman, contohnya di Goethe Institut

Walaupun ada sesetengah iklan pekerjaan di Jerman (terutamanya bidang IT) tidak meletakkan pengetahuan bahasa Jerman sebagai syarat kelayakan, keupayaan berbahasa Jerman sangat berharga, lebih-lebih lagi dalam menempuhi kerenah birokrasi dan cabaran kehidupan seharian di Jerman ini.

Soalan: belajar bahasa Jerman sampai tahap berapa?

Penulis mencadangkan sekurang-kurangnya tahap A2 sebelum berhijrah ke Jerman.

Tahap-tahap pengetahuan bahasa Jerman, dari terendah A1 hingga tertinggi C2.

3. Memohon pekerjaan

Melalui portal-portal ataupun e-mail kepada syarikat-syarikat sasaran, menggunakan bahasa Inggeris formal, memautkan salinan sijil-sijil seperti ijazah dan resumé/CV.

Contoh resumé/CV dalam bahasa Jerman.

 

4. Memohon visa pekerjaan dan permit residensi sementara

Setelah mendapat surat tawaran pekerjaan, anda harus memohon visa di Kedutaan Besar Jerman untuk memasuki negara Jerman sebagai pekerja asing. Lazimnya Kedutaan Besar Jerman di Kuala Lumpur akan memberikan tarikh temujanji untuk pertemuan empat mata dengan setiap bakal pekerja asing.

Contoh permit residensi (kad elektronik).


5. Penyedian dokumen-dokumen rasmi

Lumrah kerenah birokrasi Jerman - selalunya kita akan diberikan senarai yang sangat terperinci tentang dokumen-dokumen yang perlu kita serahkan ketika temujanji di Kedutaan Besar Jerman. Kemungkinan besar kita juga dikehendaki untuk mempunyai insurans kesihatan yang cukup untuk permulaan kehidupan kita di Jerman (sebelum menukar ke insurans yang lain).


Contoh - skrol ijazah sarjana muda milik penulis.

6. Persediaan berhijrah ke negara Jerman

Setelah mendapat visa, cabaran berikutnya ialah mencari tempat tinggal di Jerman. Topik ini sangat sulit, malah juga untuk kami yang telah pun berada di Jerman. Penulis berpendapat, bakal pekerja asing harus bersikap terbuka untuk menerima tempat tinggal yang sementara (3 bulan, 6 bulan, atau setahun) untuk bertapak di Jerman. Ada juga kemungkinan untuk tinggal agak jauh dari tempat pekerjaan, tetapi ini bukanlah masalah besar, apabila kita mempertimbangkan kemudahan jaringan pengangkutan awam di Jerman.

7. Usai ketibaan di Jerman

Setiap pendatang asing, terutamanya pelajar dan pekerja, harus mendaftarkan diri di jabatan pendaftaran penduduk di bandar atau pekan masing-masing (sila bersedia dengan istilah seperti Bürgeramt atau Meldeamt).

Selepas itu, kita harus membuka akaun di mana-mana bank Jerman seperti Deutsche Bank, Sparkasse, Commerzbank, HypoVereinsbank, dan lain-lain. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, neobank N26 juga sudah menjadi trend baru dan alternatif kepada bank-bank fizikal.

Antara bank-bank yang ada di Jerman.

 

Kita juga digalakkan untuk melanggan insurans kesihatan tempatan yang ada di Jerman.

Antara insurans-insurans kesihatan di Jerman.

Akhir sekali kita mesti mendapatkan temujanji dengan pejabat imigresen tempatan untuk mendapatkan permit residensi (tidak sama seperti yang diberikan oleh Kedutaan Besar Jerman).

Gambar ditangkap oleh penulis: Suasana di luar jabatan imigresen Frankfurt pada 6.30 pagi sebelum waktu buka 7.30 pagi, 24.12.2018.


Kesimpulan

Tiada cara atau jalan yang terang dan nyata tentang mencari pekerjaan dan berhijrah ke negara Eropah seperti Jerman ini. Para pembaca digalakkan untuk banyak membaca sendiri di laman-laman web seperti deutschland.de dan BlueCard-EU. Jalan paling mudah, pada pendapat penulis ialah melalui syarikat-syarikat konsultan yang ada di Malaysia (tidak dapat dinamakan oleh penulis di sini atas sebab-sebab tertentu).

Jika ada lagi soalan-soalan mudah, penulis dapat dicari di sini:

Akhir kata: selamat berjaya, Viel Erfolg!