Di sini penulis ingin lebih merumuskan demografi mahasiswa Malaysia di negara Jerman, setelah pernah menulis satu thread tentang topik ini di Twitter.
Latar belakang penulis dan disclaimer
- 2008 - Setiausaha Agung MARA Kumpel (majlis mahasiswa MARA di Jerman, 2nd ranking member)
- 2009 - Setiausaha Agung Malaysian-German Students' Society (MGSS), selama beberapa bulan sebelum meletakkan jawatan tanpa menamatkan penggal.
Pembahagian kumpulan mahasiswa
Di dalam thread itu, saya cuba menyatakan bahawa mahasiswa Malaysia di Jerman dapat dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Tapi ini tidak bermakna setiap mahasiswa hanya tergolong dalam satu kumpulan sahaja.
Kluster: penaja
Gambarajah ini menunjukkan penaja-penaja mahasiswa Malaysia di Jerman.
Penaja-penaja utama mahasiswa Malaysia di Jerman. |
Kluster: negeri pengajian
Negeri-negeri Jerman berikut mempunyai bilangan mahasiswa Malaysia yang teramai:
- Bayern (Bavaria)
- Nordrhein-Westfalen
- Baden-Württemberg
Ada juga yang belajar di negeri Niedersachsen (Lower Saxony), Sachsen (Saxony) dan bandaraya-bandaraya Berlin, Bremen dan Hamburg.
Peta negara Republik Persekutuan Jerman [1]. |
Kluster: institusi persediaan (pra-universiti) di Malaysia
Sepanjang pengetahuan penulis, terdapat 3 institusi di Malaysia yang menawarkan program pra-universiti untuk pengajian di negara Jerman:
- German-Malaysian Institute, Bangi
- International Education Center (INTEC), UiTM Shah Alam
- First City University College (dahulunya dikenali sebagai Kolej Bandar Utama, KBU)
Gambarajah berikut menunjukkan institusi-institusi tersebut yang dihadiri oleh pelajar-pelajar daripada penaja-penaja yang berbeza:
Institusi pra-universiti di Malaysia untuk persediaan pelajar untuk pengajian di Jerman. |
Kluster: organisasi mahasiswa Malaysia di Jerman
Ada 2 pertubuhan utama yang dianggotai oleh mahasiswa Malaysia di Jerman:
- MGSS: keahlian terbuka kepada semua pelajar Malaysia di Jerman, tidak tertakluk kepada peringkat pengajian atau penaja, tetapi didominasi oleh mahasiswa tajaan JPA.
- MARA Kumpel: Kumpel - istilah bahasa pasar Jerman yang bermaksud rakan, untuk mahasiswa tajaan MARA.
Dahulu pernah ada polemik tentang penubuhan MARA Kumpel, kerana dibimbangi memecahbelahkan mahasiswa Malaysia di sini. Tetapi harus dipertimbangkan juga bahawa memang kesemua mahasiswa ini telah pun berkelompok dari dahulu lagi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan (lihat kluster-kluster lain di atas).
MARA Kumpel sebenarnya lebih kepada satu jawatankuasa untuk menguruskan kebajikan mahasiswa tajaan MARA, terutamanya tentang urusan kewangan (tuntutan elaun, bayaran yuran), dan laporan keputusan peperiksaan semester.
Terdapat persetujuan tidak bertulis antara MARA Kumpel dan MGSS: ahli-ahli MARA Kumpel tidak perlu menyertai MGSS (yakni membayar yuran keahlian), kerana mereka telah pun membayar 'sumbangan' tahunan kepada MARA Kumpel. Mahasiswa MARA dibenarkan menyertai aktiviti-aktiviti MGSS. Sebagai balasan, setiap tahun MARA Kumpel, dengan bajet sendiri perlu mengatur satu aktiviti (terutamanya RENTAP) yang boleh disertai oleh ahli-ahli MGSS.
Kluster: organisasi berteraskan politik dan agama
Di Jerman juga terdapat kehadiran Kelab UMNO Jerman (2 cawangan) dan Kelab Bunga Raya Jerman. Selain itu, sejak beberapa tahun lepas wujud satu pertubuhan bernama AZIM Jerman, yang bermatlamat mengisi aktiviti-aktiviti kerohanian bagi mahasiswa Muslim Malaysia di sini.
Sumber:
[1] OnTheWorldMap