Sunday, March 14, 2021

Belajar di Jerman: Anggaran kos hidup pelajar bujang

Abstrak

Setiap pelajar universiti juga ialah orang dewasa yang tidak dikecualikan daripada tanggungjawab kewangan. Di sini penulis berkongsi tentang anggaran kos hidup setiap pelajar universiti di Jerman, terutamanya untuk pelajar asing yang bujang. Anggaran ini dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti tempat, masa, dan umur. Penulis sedar bahawa penulis sendiri bukan lagi seorang pelajar universiti (tamat pengajian peringkat sarjana pada awal 2015). Oleh sebab itu penulis telah berusaha untuk mendapatkan maklumat terkini dalam bulan Mac 2021. Pelbagai sumber akan dipetik di sini: laman-laman web dan juga catatan penulis sendiri semasa keluar membeli-belah di Frankfurt. Diharap anggaran ini dapat menjadi panduan awal kepada setiap pelajar Malaysia yang bakal atau baru tiba di Jerman.

(Sila hubungi penulis di facebook atau Twitter @HafizVonPJ untuk meminta izin menggunakan imej-imej dan isi-isi blogpost yang ini atau sebelumnya.)

Rajah 1: Carta aliran (flow chart) perbelanjaan bulanan seorang pelajar bujang di Jerman, dari atas hingga ke bawah [Penggunaan piawai DIN 66001].

Faktor-faktor yang mempengaruhi anggaran (constraints)

  • tempat/lokasi: Frankfurt am Main, Friedberg (Hessen),
  • masa: status carian dalam Mac 2021,
  • umur: umur pelajar bujang tidak melebihi 30 tahun (mempengaruhi insurans),
  • kursus: sarjana muda / sarjana universiti, kursus bahasa Jerman (jangka pendek).

Perbelanjaan minimum bulanan setiap pelajar

Perbelanjaan minimum setiap bulan merangkumi komitmen berikut:

  • sewa tempat tinggal dan kos tambahan (elektrik, gas, haba/pemanas, Internet)
  • insurans kesihatan
  • telefon bimbit + data
  • tiket pengangkutan awam
  • toiletries
  • bahan-bahan dapur

Sewa tempat tinggal

Satu peraturan praktikal atau Faustregel (rule of thumb, general rule) yang diamalkan oleh penulis: sewa bulanan seharusnya KURANG daripada 1/3 (33.33%) daripada wang poket bulanan masing-masing.

Asrama pelajar selalunya ditadbir oleh Studentenwerk: satu organisasi dalam setiap universiti di Jerman. Sepanjang pengalaman penulis, permintaan untuk bilik sewa asrama pelajar adalah sentiasa tinggi - daripada pelajar-pelajar berkerakyatan negara asing kepada rakyat negara Jerman sendiri yang datang dari bandar-bandar lain.

Di alma mater penulis: TH Mittelhessen (kampus Friedberg), bilik 12 m² dalam satu apartmen kongsi 8 bilik (8-er Wohngemeinschaft/WG) boleh disewa sebanyak 202 sebulan [Studentenwerk Gießen, 2021-03-14].

Rajah 2: Bilik sewa 12 m² yang didiami oleh penulis di asrama pelajar di Friedberg (Hessen) dari September 2006 hingga November 2009.

Bilik sewa asrama selalunya menjadi pilihan utama - kerana bayaran sewa itu 'warm': yakni telah mencakupi kos Internet, elektrik, air, dan haba/pemanas. Jika sebaliknya, sewa akan dipanggil 'kalt' (sejuk).

Sekiranya pelajar memilih untuk atau tiada pilihan selain daripada menyewa bilik di rumah-rumah biasa, kos bulanan berikut perlu dipertimbangkan:

[Check24.de, 2021-03-14, isi rumah: seorang]

  • elektrik: € 36 (Friedberg), € 33 (Frankfurt)
  • gas: € 27 (Friedberg, Frankfurt): bergantung kepada jenis rumah

Kos-kos tambahan (Nebenkosten) adalah berbeza-beza mengikut ketetapan tuan rumah: haba/pemanas, khidmat penyelenggaraan lif, pengurusan sampah, dan lain-lain.

Nota selingan: Studentenwerk juga memberikan terlibat dalam hal-hal berikut:

  • pentadbiran dewan makan setiap kampus universiti
  • khidmat nasihat untuk pinjaman pendidikan (seperti PTPTN)
  • khidmat nasihat biasiwa melalui pihak ketiga
  • khidmat nasihat tentang insurans: kesihatan, liabiliti (Haftpflichtversicherung), etc
  • peluang pekerjaan sambilan untuk pelajar

Perkhidmatan Studentenwerk juga disokong melalui sebahagian daripada yuran semester setiap pelajar. Sebab itulah harga makanan di dewan makan universiti lebih murah untuk pelajar universiti, berbanding dengan harga untuk kakitangan universiti dan orang-orang luar yang datang dari tempat berdekatan. Orang-orang luar, malahan orang-orang korporat tidak segan untuk datang makan di dewan makan universiti, kerana mereka membayar harga yang setimpal dan suka dengan kualiti makanan di situ yang selalunya dikawal ketat (bersih, sihat, berpatutan).

Insurans kesihatan

Terdapat insurans jenis awam (public, gesetzlich: government-regulated) dan persendirian (private). Rata-rata pelajar memilih jenis awam. Laman web berikut menyatakan bahawa purata harga premium insurans bulanan untuk pelajar ialah € 112 [Finanztip: Krankenversicherung Student, 2021-03-14].

Dalam laman web di atas juga tertulis bahawa purata harga insurans kesihatan awam bagi pelajar bujang berumur 30 tahun ke atas ialah € 208 sebulan.

Internet

Langganan khidmat Internet hanya perlu jika pelajar tinggal menyewa di luar asrama. Untuk kelajuan download 100 MBit/s, penulis mencadangkan pelajar berbelanja tidak lebih daripada € 30 sebulan.

Rajah 3: Perbandingan harga langganan Internet jenis DSL di Check24.de (2021-03-14).

Telefon bimbit dan pakej data

Kini, kerana terdapat pelbagai syarikat telekomunikasi yang saling bersaing, semua pengguna mempunyai pilihan yang amat banyak. Penulis mencadangkan pelajar berbelanja kurang daripada € 15 sebulan untuk telefon bimbit dan pakej data.

Rangkaian WiFi yang luas di universiti (dalam bilik/dewan kuliah, perpustakaan, dewan makan) memudahkan pelajar untuk tidak memerlukan pakej data yang besar. Penulis sendiri berpuas hati dengan pakej data 2 GB sebulan dari zaman pelajar hinggalah sekarang.

Rajah 4: Perbandingan harga kad SIM termasuk pakej data untuk telefon bimbit di Check24.de (2021-03-14).

Tiket pengangkutan awam (bulanan)

Rajah 5: Contoh kad elektronik pelajar di TH Mittelhessen. Setiap semester, kad ini perlu dikemaskini di mesin-mesin tertentu dalam kampus - tempoh sah penggunaaan Semesterticket akan dikemaskini di bahagian 'Aufdruck AStA-Semesterticket'. Kad ini juga digunakan untuk membayar di dewan makan dan meminjam buku di perpustakaan universiti [THM-Benutzerkonto aktivieren, 2020-03-14].

Di negeri Hessen dan Nordrhein-Westfalen, yuran semester pelajar juga merangkumi Semesterticket: tiket pengangkutan awam yang sah digunakan sepanjang semester, selagi pelajar masih berdaftar di universiti (immatrikuliert). Jenis-jenis pengangkutan awam yang boleh digunakan dengan Semesterticket ini ialah:

  • bas
  • Straßenbahn: tram
  • S-Bahn: keretapi bawah tanah
  • U-Bahn: keretapi bawah tanah
  • Regionalbahn (RB) / Regional-Express (RE): keretapi jarak jauh

Di TH Mittelhessen - yuran Summer Semester 2021 ialah € 280.32 - termasuk € 132.95 untuk Semesterticket [THM Übersicht Semesterbeiträge, 2021-03-14].

Manakala di Frankfurt Uni. of Applied Sciences pula, yuran Summer Semester 2021 ialah € 361.07 - termasuk € 214.57 untuk Semesterticket [Frankfurt UAS: Semesterbeiträge, 2021-03-14].

Sekiranya anda masih lagi bukan pelajar universiti, kemungkinan besar syarikat pengangkutan awam di bandar anda di Jerman menawarkan harga khas untuk individu daripada kategori pelajar tanpa Semesterticket, Praktikant (intern), Auszubildende (apprentice), atau sukarelawan. Di negeri Nordrhein-Westfalen pula terdapat tiket berharga serendah € 62.20 sebulan [YoungTicket, VRR 2021-03-14].

Tiket pengangkutan bulanan tidak semestinya menjadi keperluan, kerana setiap individu mudah sahaja berbasikal untuk pergi ke mana-mana dalam bandar masing-masing.

Toiletries

Penulis selalu berkunjung ke dm atau ROSSMANN untuk membeli toiletries seperti deodoran, gel rambut, dan lain-lain.

Rajah 6 (a): Kedai ROSSMANN di jalan Zeil, berdekatan dengan stesen Konstablerwache, Frankfurt am Main.

Rajah 6 (b): Kedai dm di jalan Zeil, berdekatan dengan stesen Konstablerwache, Frankfurt am Main.

Syarikat dm dan ROSSMANN masing-masing ada laman web sebagai tempat rujukan harga terkini setiap produk yang dijual:

Bahan-bahan dapur

Penulis hanya dapat memberikan anggaran kasar di sini: € 15.00 hingga € 20.00 seminggu untuk bahan-bahan mentah berkemungkinan lebih daripada cukup untuk seorang pelajar bujang (bergantung kepada selera makan masing-masing).

Berikut ialah pasaraya-pasaraya di Jerman yang mesra poket pelajar:

  • Penny
  • Lidl
  • Aldi Süd
  • Aldi Nord
  • Norma

Bergantung kepada lokasi setiap cawangan, harga bahan-bahan mentah seperti sayur-sayuran dan daging mungkin berbeza-beza kerana bergantung kepada bekalan tempatan (region-based).

Daging ayam dan lembu halal

Pada petang Jumaat, 12 Mac 2021, penulis telah mengunjungi satu kedai runcit komuniti Turki tertentu di Frankfurt untuk meninjau harga semasa daging ayam dan lembu. Berikut ialah hasil catatan penulis sendiri:

  • Ayam seekor: € 2.99 / kg => € 3.00 / kg
  • Dada ayam: € 6.99 / kg => € 7.00 / kg
  • Betis ayam (drumstick): € 3.49 / kg => € 3.50 / kg
  • Peha + betis ayam penuh: € 1.99 / kg => € 2.00 / kg
  • Kepak ayam: € 2.99 / kg => € 3.00 / kg
  • Ayam belanda: € 5.99 / kg => € 6.00 / kg
  • Daging lembu: € 9.99 / kg => € 10.00 / kg
  • Daging cincang (lembu + kambing): € 4.99 / kg => € 5.00 / kg
Rajah 7: Seksyen daging atau Fleischerei/Metzgerei di dalam satu pasaraya komuniti Turki di Frankfurt - berdekatan dengan rumah sewa lama penulis dari 2017 hingga 2019 (bukan kedai yang dikunjungi oleh penulis pada 12 Mac 2021). Pasaraya yang bernama Intermarkt ini, sepanjang pengetahuan penulis setakat ini, ialah pasaraya halal yang terbesar di Frankfurt.

Perbelanjaan sampingan

Gunting rambut lelaki:

Penulis selalu ke kedai gunting rambut setiap 2 bulan. Sebelum zaman COVID-19, penulis masih ingat bahawa purata harga guntingan biasa ialah € 13.00 di Frankfurt. Kini harga guntingan biasa untuk lelaki telah naik kepada sekurang-kurangnya € 15.00.

Dobi layan diri (self-service):
Rajah 8: Senarai harga di satu kedai dobi layan diri berdekatan dengan rumah sewa penulis di Frankfurt.

Penulis menganggarkan harga penggunaan mesin basuh di asrama pelajar adalah serendah € 2.00 untuk sekali basuhan (sabun dan pelembut seperti Softlan: bawa sendiri).

Kesimpulan

Pengiraan kos hidup seorang pelajar bujang di Jerman adalah sangat rumit. Tetapi penulis masih berpendapat bahawa secara umumnya kos tersebut adalah rendah, sebelum mengira faktor sewa tempat tinggal.

Pada pendapat penulis, seorang pelajar bujang dapat hidup selesa di Jerman dengan wang poket bulanan dari € 800 ke atas, tanpa perlu bekerja sambilan.

Sekiranya pelajar peka terhadap keperluan masing-masing, beberapa perbelanjaan dapat dielakkan atau dikurangkan.

Penulis menggalakkan pelajar berjimat-cermat. Duit baki selepas menyelesaikan komitmen bulanan haruslah diutamakan untuk simpanan dahulu, sebelum pelajar berjoli.

1 comment:

jazzardaldeen said...

Assalamualaikum. tuan sedang belajar kat german ke?