Saturday, January 13, 2024

Cara-cara mencari pekerjaan di Jerman dari Malaysia

Penulis telah biasa menerima mesej-mesej di platform sosial media seperti X (Twitter), facebook dan TikTok, yang bertanyakan tips atau cara-cara mencari pekerjaan di negara Jerman. Dalam tulisan ini, penulis cuba untuk memberikan cara-cara dan pendekatan yang seumum mungkin, semoga bermanfaat untuk semua pembaca.

Penulis di atas kapal Primus-Linie di sungai Main, Frankfurt, Sep. 2019.

Latar belakang pendidikan tinggi penulis

Penulis ingin memaklumkan pembaca bahawa penulis mula bekerja terus di Jerman sejak pertengahan 2015, selepas tamat pengajian universiti di sini, tanpa pulang ke Malaysia terlebih dahulu.
  • Ijazah sarjana muda Dipl.-Ing. (FH) kejuruteraan mekatronik, Technische Hochschule Mittelhessen
  • Ijazah sarjana M. Sc. Computer Vision and Photonics, Hochschule Darmstadt.

Bacaan sampingan pilihan

Penulis menggalakkan para pembaca untuk meluangkan masa membaca di laman-laman ini:

Langkah-langkah mencari pekerjaan di Jerman

(Penulis menggalakkan pembaca menggunakan fungsi terjemahan ke dalam bahasa Inggeris, kerana laman-laman web berikut kebanyakannya berpaksikan negara dan bahasa Jerman.)

1. Memulakan pencarian di portal-portal karier

2. Belajar bahasa Jerman, contohnya di Goethe Institut

Walaupun ada sesetengah iklan pekerjaan di Jerman (terutamanya bidang IT) tidak meletakkan pengetahuan bahasa Jerman sebagai syarat kelayakan, keupayaan berbahasa Jerman sangat berharga, lebih-lebih lagi dalam menempuhi kerenah birokrasi dan cabaran kehidupan seharian di Jerman ini.

Soalan: belajar bahasa Jerman sampai tahap berapa?

Penulis mencadangkan sekurang-kurangnya tahap A2 sebelum berhijrah ke Jerman.

Tahap-tahap pengetahuan bahasa Jerman, dari terendah A1 hingga tertinggi C2.

3. Memohon pekerjaan

Melalui portal-portal ataupun e-mail kepada syarikat-syarikat sasaran, menggunakan bahasa Inggeris formal, memautkan salinan sijil-sijil seperti ijazah dan resumé/CV.

Contoh resumé/CV dalam bahasa Jerman.

 

4. Memohon visa pekerjaan dan permit residensi sementara

Setelah mendapat surat tawaran pekerjaan, anda harus memohon visa di Kedutaan Besar Jerman untuk memasuki negara Jerman sebagai pekerja asing. Lazimnya Kedutaan Besar Jerman di Kuala Lumpur akan memberikan tarikh temujanji untuk pertemuan empat mata dengan setiap bakal pekerja asing.

Contoh permit residensi (kad elektronik).


5. Penyedian dokumen-dokumen rasmi

Lumrah kerenah birokrasi Jerman - selalunya kita akan diberikan senarai yang sangat terperinci tentang dokumen-dokumen yang perlu kita serahkan ketika temujanji di Kedutaan Besar Jerman. Kemungkinan besar kita juga dikehendaki untuk mempunyai insurans kesihatan yang cukup untuk permulaan kehidupan kita di Jerman (sebelum menukar ke insurans yang lain).


Contoh - skrol ijazah sarjana muda milik penulis.

6. Persediaan berhijrah ke negara Jerman

Setelah mendapat visa, cabaran berikutnya ialah mencari tempat tinggal di Jerman. Topik ini sangat sulit, malah juga untuk kami yang telah pun berada di Jerman. Penulis berpendapat, bakal pekerja asing harus bersikap terbuka untuk menerima tempat tinggal yang sementara (3 bulan, 6 bulan, atau setahun) untuk bertapak di Jerman. Ada juga kemungkinan untuk tinggal agak jauh dari tempat pekerjaan, tetapi ini bukanlah masalah besar, apabila kita mempertimbangkan kemudahan jaringan pengangkutan awam di Jerman.

7. Usai ketibaan di Jerman

Setiap pendatang asing, terutamanya pelajar dan pekerja, harus mendaftarkan diri di jabatan pendaftaran penduduk di bandar atau pekan masing-masing (sila bersedia dengan istilah seperti Bürgeramt atau Meldeamt).

Selepas itu, kita harus membuka akaun di mana-mana bank Jerman seperti Deutsche Bank, Sparkasse, Commerzbank, HypoVereinsbank, dan lain-lain. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, neobank N26 juga sudah menjadi trend baru dan alternatif kepada bank-bank fizikal.

Antara bank-bank yang ada di Jerman.

 

Kita juga digalakkan untuk melanggan insurans kesihatan tempatan yang ada di Jerman.

Antara insurans-insurans kesihatan di Jerman.

Akhir sekali kita mesti mendapatkan temujanji dengan pejabat imigresen tempatan untuk mendapatkan permit residensi (tidak sama seperti yang diberikan oleh Kedutaan Besar Jerman).

Gambar ditangkap oleh penulis: Suasana di luar jabatan imigresen Frankfurt pada 6.30 pagi sebelum waktu buka 7.30 pagi, 24.12.2018.


Kesimpulan

Tiada cara atau jalan yang terang dan nyata tentang mencari pekerjaan dan berhijrah ke negara Eropah seperti Jerman ini. Para pembaca digalakkan untuk banyak membaca sendiri di laman-laman web seperti deutschland.de dan BlueCard-EU. Jalan paling mudah, pada pendapat penulis ialah melalui syarikat-syarikat konsultan yang ada di Malaysia (tidak dapat dinamakan oleh penulis di sini atas sebab-sebab tertentu).

Jika ada lagi soalan-soalan mudah, penulis dapat dicari di sini:

Akhir kata: selamat berjaya, Viel Erfolg!

Friday, August 25, 2023

Hobi baru 2023: TikTok

Pada 21 Januari 2023, penulis telah memuat naik video pertama ke platform TikTok (lihat video di bawah ini). Penulis akui bahawa agak lewat untuk menyertai platform ini, memandangkan penulis lebih selesa di facebook dan Twitter (kini dikenali sebagai X).

 

@hafizvonpj Selamat datang ke Frankfurt, Jerman! #Jerman #jalanJalan #melancong #luarNegara #orangMalaysia #orangMalaysiaLuarNegara ♬ original sound - Hafizus Jaafarius

facebook

Penulis telah berada di facebook sejak tahun 2008.

Profil penulis di facebook (Ogos 2023)


Trend TikTok

Kami di negara Jerman ini memang lambat sikit untuk menangkap apa-apa yang semakin trending di media sosial. Lihat sajalah aplikasi 'Threads' daripada Instagram yang masih belum dapat dimuat turun jika pengguna telefon bimbit pintar memakai akaun yang dikonfigurasi untuk Jerman.

Twitter / X

Penulis dapat dicari di platform Twitter (atau X) dengan profile Twitter @HafizVonPJ

Profil penulis di Twitter / X (Ogos 2023)

Fokus TikTok

Penulis masih mencari-cari 'niche' sendiri di TikTok, tetapi setakat ini penulis lebih gemar memuat naik video-video tentang

  • kehidupan seharian
  • pandangan daripada perjalanan berbasikal

di bandaraya Frankfurt atau negara Jerman umumnya. Idea-idea untuk jangka panjang memang telah pun difikirkan, cuma penulis masih memikirkan masa yang sesuai untuk melancarkan operasi 'pivoting'.

Kesimpulan

Penulis dapat dihubungi di Twitter / X, TikTok dan facebook (nama profil: 'Hafiz Jaafar (Hafizus Jaafarius)').

Sunday, May 23, 2021

Bekerja di Jerman: Pengalaman Lazim

Dalam artikel ini, penulis ingin berkongsi pengalaman lazim atau tipikal yang dihadapi oleh semua orang yang bekerja di negara Jerman ini. Penulis mengolah tentang dokumen-dokumen rasmi, pencarian pekerjaan dan suasana di tempat kerja secara ringkas.

Steueridentifikationsnummer - nombor identiti cukai

Lambat laun apabila seseorang warga asing, terutamanya pelajar, tiba di negara Jerman, akan sampai surat daripada Bundeszentralamt für Steuern atau BZSt (Jabatan Pusat Persekutuan untuk Percukaian Jerman). Surat itu mengandungi nombor identiti seseorang dalam sistem percukaian negara Jerman, yakni Steueridentifikationsnummer. Nombor ini haruslah dijaga setiap masa, kerana akan diperlukan setiap kali kita mendapat pekerjaan yang sah di negara Jerman ini.

Nombor identiti ini ada 11 aksara, unik, dan kekal sepanjang hidup (Sumber: Was ist eine Steuer-ID und wo bekomme ich her? 2021-05-23).

 

Sozialversicherung - social security

Bagaimanakah BZSt mendapat tahu alamat kita masing-masing di sini? Barangkali daripada agensi insurans kesihatan kita, data kita akan dikongsi bersama-sama jabatan-jabatan kerajaan Jerman yang lain, seperti Sozialversicherung (social security). Sozialversicherung ini bertanggungjawab untuk menerima insurans pencen seseorang (Rentenversicherung). Ada satu dokument penting iaitu Sozialversicherungsausweis (social security pass) - yang akan diterima oleh masing-masing ketika menerima pekerjaan yang pertama sekali di Jerman (Sumber: Deutsche Rentenversicherung, 2021-05-23).

Contoh Sozialversicherungsausweis - social security pass (Sumber: Deutsche Rentenversicherung, 2021-05-23).

 

Führungszeugnis - certificate of conduct

Führungszeugnis ini ibarat sijil kelakuan baik di negara Jerman ini. Sijil ini boleh didapati daripada Bürgeramt (majlis perbandaran) dalam lokaliti masing-masing, dengan bayaran tertentu yang tidak mahal pun. Jika sijil ini diperlukan oleh majikan anda, kosnya akan dibayar semula oleh majikan tersebut. Jika anda mewakili pertubuhan-pertubuhan sukarelawan, seperti penulis yang merupakan pastor kecemasan untuk komuniti Muslim Frankfurt (Salam e.V. Frankfurt), sijil ini akan diisukan secara percuma.
 
Führungszeugnis ini akan menyatakan sama ada seseorang itu ada dalam rekod polis di mana-mana atau tidak. Sijil ini juga diperlukan untuk penulis yang bekerja dalam bidang perkhidmatan kewangan (financial services) di Frankfurt.

Contoh Führungszeugnis - sijil kelakuan negara Jerman (Sumber: Bundesamt für Justiz, 2021-05-23)

 

Arbeitsvertrag - kontrak pekerjaaan

Sama ada pekerjaan di Jerman itu tetap atau sementara, setiap pekerjaan itu mesti disahkan dengan sesuatu kontrak bertulis - yakni Arbeitsvertrag. Kontrak ini merupakan satu dokumen perjanjian antara majikan dan pekerja - menyatakan perkara utama seperti hak masing-masing, bilangan hari cuti, dan angka gaji.

Kontrak ini selalunya diperlukan untuk menyokong permohonan visa dan permit pekerjaan daripada Ausländerbehörde (jabatan imigresen).
Contoh Arbeitsvertrag atau kontrak kerja (Sumber: IHK Offenbach - Arbeitsvertrag (Muster), 2021-05-23)

Arbeitserlaubnis - permit pekerjaan

Dokumen ini diisukan oleh Ausländerbehörde dalam bandar masing-masing. Selagi anda belum mendapat taraf pemastautin tetap atau Permanent Residentship, selagi itulah anda harus pergi memperbaharui Arbeitserlaubnis anda sebelum memulakan pekerjaan baru di Jerman ini.

Permit pekerjaan untuk pelajar asing

Untuk seseorang pelajar asing di Jerman ini, terutamanya yang bukan dari negara Kesatuan Eropah (European Union), visa pelajar masing-masing selalunya juga ditambahkan satu ayat yang ringkas - pelajar ini hanya dibenarkan bekerja tidak lebih 120 hari atau 240 setengah hari dalam setahun. CUKUP - ayat ini berserta visa pelajar asing itu telah menjadi dokumen permit pekerjaan di Jerman (Sumber bahan bacaan: Deutsches Studentenwerk - Arbeiten im Studium, 2021-05-23).
 
Tempoh 120 hari itu harus dikira secara literal - iaitu 120 darab 24 jam - maka seseorang pelajar asing bukan warga EU itu boleh bekerja sambilan tidak lebih daripada 2880 jam setahun.

 

Pencarian pekerjaan di Jerman

Penulis pernah berkongsi tentang pengalaman mencari kerja pada tahun 2015: Job Hunting in Germany. Dari zaman penulis sebagai pelajar universiti, pelbagai cara digunakan untuk mencari pekerjaan di negara Jerman ini. Ketika zaman universiti, penulis rajin ke career fair - di bandaraya Köln, Stuttgart, Frankfurt dan Darmstadt.
 
Penulis juga dulu suka melihat-lihat papan kenyataan di fakulti universiti - ada-ada sahaja iklan untuk pekerjaan sementara (Werkstudenttätigkeit), latihan praktikal, dan penulisan tesis yang ditujukan khas kepada pelajar-pelajar fakulti.

Selain itu, ada laman-laman web seperti StepStone, Monster, dan Accenture juga menjadi enjin pencarian pekerjaan di Jerman ini. Syarikat-syarikat besar seperti Daimler, BMW, Continental, Siemens, dan ThyssenKrupp, selalunya mempunyai portal pencarian pekerjaan sendiri.

Tiga dokumen penting dalam misi mencari kerja di sini:
  • Motivationsanschreiben - surat pengenalan
  • Lebenslauf - resumé atau curriculum vitae (CV)
  • Zeugnisse - sijil-sijil
Motivationsanschreiben boleh dijadikan penulisan utama dalam e-mail terus kepada syarikat yang menjadi sasaran kita. Sepanjang pengetahuan penulis, penulisan ini TIDAK perlu seperti karangan berjela-jela. Cukuplah dengan 1 perenggan permulaan, perenggan utama yang dibuat dalam bentuk bullet point, dan perenggan terakhir.
Contoh perenggan utama dalam Motivationsanschreiben.
 
Pertaruhan utama pencarian pekerjaan ialah Lebenslauf/resumé masing-masing.
Resumé penulis dalam bahasa Jerman.

 

Temuduga kerja

Jika seseorang itu mendapat jemputan untuk datang ke sesi temuduga secara bersemuka, itu ialah petanda yang sangat baik, kerana proses penapisan permohonan selalunya dilalui dengan ketat.
 
Kos pengangkutan - untuk datang ke temuduga di bandar lain bukanlah sesuatu yang murah. Selalunya syarikat Jerman yang menjemput anda untuk bertemuduga, akan menawarkan penanggungan kos pengangkutan seperti tiket keretapi dan bayaran teksi.

Pakaian - dari dulu sehingga sekarang, penulis berpakaian secara smart-casual untuk temuduga jawatan jurutera dan software engineer/developer. Sudah memadai dengan kemeja berlengan panjang (digosok), seluar jeans gelap (yang tidak lusuh atau bertompok-tompok), dan kasut kulit hitam.
Julai 2017: Penulis di Old Town Sachsenhausen, Frankfurt - setelah baru pulang dari satu temuduga yang berjaya di bandar Rüsselsheim, berpakaian smart-casual.

 

Suasana di pejabat

Perkara utama pada hari pertama anda pergi bekerja di Jerman: di pejabat sudah disediakan air minuman - sama ada air mineral dalam botol, dari mesin dispenser, ataupun air paip yang sudah disahkan sebagai bersih dan selamat untuk diminum terus.

Kadangkala, majikan memang bermurah hati dengan menyediakan mesin kopi untuk pekerja-pekerja. Malahan ini juga ditekankan sebagai bahan tarikan oleh sesuatu syarikat dalam iklan pekerjaan masing-masing: kopi dan buah-buahan segar percuma untuk setiap pekerja.
Mesin kopi berkualiti tinggi di pejabat penulis.

Harijadi di pejabat dalam Jerman - mengikut budi bicara masing-masing, harijadi akan dihebahkan sebagai berita baik dalam pejabat, selalunya dalam jabatan sendiri. Rakan-rakan sekerja akan datang bergilir-gilir menghulurkan salam (the famous German handshake, sumber: German culture greetings, 2021-05-23 ) dan ucapan tahniah. Si fulan yang menjadi birthday kid hari itu lazimnya membelanjakan kek untuk rakan-rakan lain.

Febuari 2020 - Donut yang dibelanjakan oleh seorang rakan sekerja penulis sempena harijadinya.

2017 - Kek yang dibelanjakan oleh penulis di pejabat sempena harijadi ke 3*. Sebelah kiri ialah Rhabarberkuchen (rhubarb pie) dan sebelah kanan ialah Streuselkuchen - kedua-duanya dibeli daripada satu bakeri Jerman di Darmstadt.

Pergaulan di pejabat selalunya bersifat profesional. Kita tidak bertanya soalan-soalan peribadi kepada seseorang rakan sekerja - adakah dia telah berkahwin, berapakah anak yang dia ada, dan sebagainya, melainkan rakan itu sendiri yang membuka mulut berkongsi sendiri hal peribadinya.
 
Rakan-rakan sekerja TIDAK akan menjadi 'friends' di facebook (jika ada akaun) - kerana bersifat peribadi. Tetapi platform LinkedIn dan Xing diterima tanpa banyak soalan.
 
Ada event tertentu menjadi tempat untuk bergaul mesra dengan rakan-rakan sekerja tanpa tekanan, seperti larian maraton dan barbeku.
Jun 2019 - Penulis (kiri) di belakang rakan-rakan sekerja ketika menyertai larian JP Morgan di Frankfurt.



Disember 2017 - penulis dan rakan-rakan sekerja ketika operasi perpindahan syarikat ke bangunan baru di Frankfurt.

 

Kesimpulan

Bekerja di Jerman ialah suatu pengalaman yang tidak ternilai bagi penulis. Penulis bersyukur dengan rezeki diterima bekerja di negara ini selepas tamat pengajian universiti.

Saturday, May 8, 2021

Belajar di Jerman: Ujian Bahasa TestDaF (Bahagian 3 - Terakhir)

Dalam bahagian terakhir ini pula, penulis ingin berkongsi cadangan-cadangan kepada calon-calon TestDaF untuk berlatih dan bersiap sedia. Dua elemen terpenting di sini ialah Internet dan personal computer.

Cadangan dan tips oleh penulis untuk calon-calon TestDaF

1. Fahami laman web rasmi TestDaF

Penulis tidak berasa perlu untuk menulis semula kesemua kandungan laman web rasmi TestDaF dalam Bahasa Melayu. Pada pendapat penulis, calon-calon sendiri harus menyelidiki laman web tersebut dan membaca satu persatu tentang keperluan (requirements & expectations) daripada TestDaF terhadap setiap calon ujian tersebut.
Terdapat pelbagai bahan yang akan membantu persediaan calon-calon di laman web itu.

2. Latihan simulasi

Walaupun penulis hanya mengambil TestDaF dalam format kertas pada 2005, tetapi penulis sendiri ada pengalaman dalam ujian TOEFL (Test of English as a foreign language) dan peperiksaan profesional untuk Java programming (Oracle Certified Associate dan Oracle Certified Professional). Penulis telah mengambil kesemua ujian tersebut menggunakan komputer di pusat-pusat ujian yang bertauliah di Frankfurt dan Darmstadt.
Pada pendapat dan pengalaman penulis - latihan simulasi pada komputer merupakan kaedah yang terbaik untuk mempersiapkan diri menghadapi ujian-ujian jenis digital.
Maka penulis mencadangkan bahawa calon-calon menggunakan komputer masing-masing, lengkap dengan headphone yang baik untuk berlatih menghadapi TestDaF versi digital.
 
Latihan TestDaF digital - contoh.

3. Pelaburan dengan membeli buku-buku dan CD untuk ujian

Untuk calon-calon TestDaF, khususnya pelajar-pelajar Malaysia yang telah pun sampai ke Jerman dan sedang bersiap-sedia untuk ujian ini pada bulan 7 atau 8 akan datang, terdapat bahan-bahan yang relevan dijual di Amazon. Sila cari dengan perkataan-perkataan seperti berikut:
  • testdaf musterprüfung

    •  
  • testdaf vorbereitung

    •  
Bahan-bahan yang dijual - dalam bentuk buku dan CD, dijual pada harga yang berpatutan (tidak lebih € 30).
Apalah sangat 20 atau 30 Euro jika dibandingkan dengan berbelanja beratus-ratus Euro untuk membeli smart watch atau smart phone masing-masing.
 

4. Menonton berita dan dokumentari dalam bahasa Jerman di YouTube

Terdapat pelbagai saluran berita dan rancangan dokumentari dari negara Jerman di YouTube, contohnya:
  • Deutsche Welle
  • die Welt Nachrichten
  • ZDF heute
  • Tagesschau

Calon-calon digalakkan membiasakan diri mendengar percakapan dariapada penutur-penutur bahasa Jerman sebagai bahasa ibunda. Daripada situ, kita dapat belajar sebutan dan intonasi yang betul dan terbaik.
 

5. Membaca bahan-bahan ilmiah dalam bahasa Jerman

Laman-laman web akhbar dan majalah dari negara Jerman juga dapat membantu calon-calon dalam mendapatkan idea tentang penulisan. Pelajarilah istilah dan Ausdrücke (expressions) yang digunakan dalam artikel saintifik dan berita-berita.
Contoh-contoh akhbar dan majalah dalam bahasa Jerman yang elok pada pandangan penulis:
  • Süddeutsche Zeitung
  • Frankfurter Allgemeine Zeitung (FAZ)
  • Deutsche Welle
  • FOCUS Online

Kesimpulan

Penulis berpendapat, kesemua bahan-bahan yang diperlukan untuk calon-calon TestDaF ada sahaja dalam Internet - mudah dicapai dari hujung jari. Namun begitu, penulis mengesyorkan calon-calon untuk fokus semasa menggunakan Internet dalam pembelajaran, kerana perhatian akan mudah teralih oleh pelbagai link dan peralihan tidak terjangka kepada laman-laman web lain. Semoga berjaya kepada calon-calon TestDaF.
Viel Erfolg und alles Gute!

Friday, May 7, 2021

Belajar di Jerman: Ujian Bahasa TestDaF (Bahagian 1)

Ada beberapa ujian bahasa Jerman yang melayakkan seseorang untuk memohon kemasukan ke pengajian universiti di negara Jerman. Dua ujian yang paling diketahui di Malaysia ialah TestDaF (Test Deutsch als Fremdsprache - German as foreign language) dan DSH (Deutsche Sprachprüfung für den Hochschulzugang - German language examination for college admission). Fokus utama artikel ini ialah TestDaF, kerana penulis sendiri lulusan ujian ini. Diharapkan artikel ini bermanfaat kepada calon-calon yang akan menduduki TestDaF pada bila-bila masa di Malaysia atau di Jerman.

Gambarajah 1: Kepala sijil TestDaF yang diterima oleh penulis pada 2005.

Ini ialah kali kedua penulis berkongsi tentang TestDaF. Artikel pertama yang ditulis dalam bahasa Inggeris beberapa tahun dulu ada di sini: Welcome to Germany.... Tulisan kedua ini pula bukan sahaja dalam Bahasa Melayu, tetapi dengan lebih banyak maklumat terkini daripada hasil pencarian penulis sendiri. Namun begitu, terdapat beberapa istilah dalam bahasa Jerman yang tidak dapat diterjemahkan oleh penulis ke dalam Bahasa Melayu.

Pengalaman penulis


Penulis telah menduduki TestDaF di kampus lama German-Malaysian Insitute (GMI), Kuala Lumpur pada April 2005, di bawah pengawasan guru-guru bahasa Jerman dari Goethe Institut Kuala Lumpur. Penulis lulus peperiksaan itu dengan gred 17/20.

TestDaF

Daripada laman rasmi TestDaF [1] dapat difahami bahawa peperiksaan ini dikelolakan oleh satu organisasi g.a.s.t (Gesellschaft für akademische Studienvorbereitung und Testentwicklung e.V. - Society for academic study preparation and test development).

Perbandingan paling senang antara TestDaF dan DSH

Ujian DSH lazimnya diambil oleh pelajar-pelajar Malaysia di INTEC, UiTM Shah Alam. DSH akan disediakan, ditentukan dan dikelolakan oleh universiti Jerman yang akan menganjurkan ujian itu. Manakala TestDaF pula yang lazim bagi pelajar-pelajar GAPP di GMI, bersifat centralized (berpusat), lebih universal dan diterima pakai oleh mana-mana universiti di Jerman.

Ujian digital vs. bertulis

Penulis beranggapan bahawa calon-calon akan menduduki TestDaF secara digital kerana kekangan pandemik COVID-19. Ujian digital, pada pemahaman dan pengalaman penulis - ialah peperiksaan pada komputer (PC) dalam satu bilik khas. Calon ujian kemungkinan besar tidak perlu atau dibenarkan untuk membawa apa-apa alat tulis. Selain itu, smart watch dan telefon bimbit juga tidak akan dibenarkan dalam bilik itu.

Gambarajah 2: Smart watch dan smart phone tidak dibenarkan untuk dibawa ke dalam bilik ujian digital (foto milik penulis).

Gred

Di laman web ini ada penerangan paling lengkap tentang gred-gred TestDaF: Beschreibung der TestDaF-Niveaus (TDN) (description of TestDaF levels) [2].

Gambarajah 3: Gred-gred TestDaF dalam spektrum Gemeinsamer europäischer Referenzrahmen für Sprachen (common European reference scale for languages) [2].

Gred lulus untuk setiap bahagian ialah 3. Gred tertinggi pula ialah 5. Gred 3 terletak dalam zon Zulassung (penerimaan), manakala gred 4 dan 5 dalam zon garantiertie Zulassung (penerimaan terjamin).

Umumnya, universiti-universiti Jerman meletakkan syarat minimum C1 untuk kelayakan kemasukan (Gambarajah 3). B2 pula membawa kepada tawaran bersyarat - yang mana pelajar mesti mengemukakan keputusan yang lebih baru dan lebih baik yakni minimum C1 pada waktu melaporkan diri di universiti. Secara tersirat (implicit), pelajar harus mengulangi dan lulus ujian bahasa itu sebelum tarikh melapor diri.

Sebab itulah pelajar seelok-eloknya perlu lulus dengan paling kurang gred 4 bagi setiap bahagian. Dengan 4 bahagian dalam TestDaF (diterangkan dalam Bahagian 2), maka jumlah minimum gred yang harus dicapai oleh setiap pelajar ialah 16 per 20.

Dengan jumlah gred 16/20 ini, pelajar dapat berasa selesa dan yakin untuk memohon tempat di mana-mana universiti dalam negara Jerman. Apatah lagi dengan gred tertinggi iaitu 20/20.

Kesimpulan Bahagian 1

Definisi matlamat atau objektif setiap calon TestDaF sangat jelas dan nyata: jumlah gred minimum 16/20 harus dicapai untuk menjamin permohonan tempat di universiti-universiti Jerman.

[Bersambung ke Bahagian 2]

Sources and timestamp (date of access in ISO 8601 format):

[1] https://www.testdaf.de/de (2021-05-07)

[2] https://www.testdaf.de/de/teilnehmende/warum-testdaf/testdaf-niveaus-tdn/ (2021-05-07)

 

Belajar di Jerman: Ujian Bahasa TestDaF (Bahagian 2)

Dalam Bahagian 1, penulis telah memberikan pengenalan tentang TestDaF. Di sini pula, penulis mengupas struktur TestDaF mengikut bahagian.
Laman ini dapat dilihat dalam keadaan terbaik jika dibuka atas PC.
 


Disclaimer and Resources

For the media sources below, I used the direct URL to the examples given on the official TestDaF website. I did NOT download and re-upload these example media. The URL to the MP4-formatted videos are embedded into the HTML file used to construct this blog post.
The videos to these examples are available from this page: Vorbereitung auf den digitalen TestDaF (2021-05-08).

Struktur TestDaF digital

Berikut ialah terjemahan penulis daripada laman berikut: Der Aufbau des digitalen TestDaF (2021-07-08).
Peperiksaan ini terbahagi kepada 4 bahagian:

  1. Leseverstehen - pemahaman bacaan: 7 Aufgaben (tasks), 34 item, 55 minit
  2. Hörverstehen - pemahaman pendengaran: 7 Aufgaben, 30 item, 40 minit
  3. Schriftlicher Ausdruck - penulisan, 2 Aufgaben, 60 minit
  4. Mündlicher Ausdruck - lisan, 7 Aufgaben, 35 minit

1. Leseverstehen (LV) - pemahaman bacaan

Tema-tema atau subjek-subjek yang dapat dijangkakan:
  • Forschungs- und Projektberichte: laporan kajian dan projek
  • Kommentare: komentar / ulasan
  • beschreibende und argumentative Texte und Kurzberichte: teks perihal dan penghujahan, laporan ringkas
Terdapat 7 jenis Aufgaben (tasks), iaitu:

Lückentext ergänzen: isi tempat kosong, 5 item



Textabschnitte ordnen: susun perenggan teks, 4 item



Multiple-Choice: pelbagai pilihan, 7 item



Sprachhandlungen zuordnen: padanan lakonan pertuturan, 4 item



Aussagen Kategorien zuordnen: padanan kategori penyataan/pengumuman, 7 item



Aussagen einem Begriffspaar zuordnen: padanan istilah dan kenyataan, 4 item



Fehler in Zusammenfassung erkennen: cari kesalahan dalam teks ringkasan/kesimpulan/abstrak, 3 item.



AWAS:
7 Aufgaben itu akan diberikan mengikut turutan. Calon boleh menjawab sepantas mungkin, tetapi TIDAK boleh kembali kepada Aufgabe yang lepas.
 

2. Hörverstehen (HV) - pemahaman pendengaran

Dijangka: dialog / perbualan antara 1 hingga 3 orang - dari temubual, perbincangan, ataupun potongan daripada kuliah.
Bahagian HV ini mempunyai 7 Aufgaben (tasks) dalam format audio dan video, iaitu:

Kurzantwort: Übersicht ergänzen: jawapan ringkas - pelengkapan (isi tempat kosong) gambaran keseluruhan, audio, 5 item



Kurzantwort: Textstellen zu Begriffspaar notieren: jawapan ringkas - catatan isi-isi penting daripada satu perbualan. Isi-isi itu dikategorikan seperti Forderung (permintaan) dan Argument (hujah).



Fehler in Zusammenfassung erkennen: kenalpasti kesalahan dalam sesuatu rumusan

Selepas mendengar satu rakaman, contohnya daripada satu pembentangan/kuliah.


Aussagen Personen zuordnen: padankan kenyataan kepada orang yang telah mengeluarkan kenyataan tersebut.



Kurzantwort: Gliederungspunkte zu Vortrag ergänzen: pengisian intipati-intipati daripada sesuatu pembentangan/kuliah.



Multiple-Choice: soalan pelbagai pilihan berkenaan satu rakaman audio daripada sesuatu pembentangan/kuliah.



Laut- und Schriftbild abgleichen: perbandingan audio dan teks, contohnya cari perkataan-perkataaan daripada teks yang diberi, tetapi tidak disebut langsung dalam rakaman audio yang diperdengarkan.



3. Schriftlicher Ausdruck (SA) - penulisan

Terdapat 2 bahagian dalam ujian penulisan SA ini, iaitu:

Argumentative Text schreiben: penulisan teks penghujahan.



Di sini calon ujian perlu memberikan hujah-hujah tentang sesuatu topik yang diberi.
Contoh di atas ialah berkenaan aspek positif dan negatif bagi seseorang pekerja dan majikan, apabila seseorang itu kerap bertukar tempat pekerjaan.

Informationen aus Lesetext und Grafik zusammenfassen: rumusan maklumat daripada sesuatu teks dan graf.



Dalam contoh di atas, calon ujian dikehendaki menulis tentang sebab-sebab dan kesan-kesan daripada kematian lebah.

4. Mundlicher Ausdruck (MA) / Sprechen - lisan

Terdapat 7 Aufgaben (tasks) dalam bahagian ini pula.

Rat geben: pemberian nasihat/cadangan



Optionen abwägen: pertimbangan pilihan-pilihan



Text zusammenfassen: rumusan daripada sesuatu teks



Informationen abgleichen, Stellung nehmen: perbandingan maklumat dan pernyataan pendirian



Thema präsentieren: pembentangan (presentation) sesuatu topik/tema, contohnya iklan



Argumente wiedergeben, Stellung nehmen: pengulangan hujah-hujah dan pernyataan pendirian



Maßnahmen kritisieren: kritikan terhadap sesuatu polisi


Sunday, March 14, 2021

Belajar di Jerman: Anggaran kos hidup pelajar bujang

Abstrak

Setiap pelajar universiti juga ialah orang dewasa yang tidak dikecualikan daripada tanggungjawab kewangan. Di sini penulis berkongsi tentang anggaran kos hidup setiap pelajar universiti di Jerman, terutamanya untuk pelajar asing yang bujang. Anggaran ini dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti tempat, masa, dan umur. Penulis sedar bahawa penulis sendiri bukan lagi seorang pelajar universiti (tamat pengajian peringkat sarjana pada awal 2015). Oleh sebab itu penulis telah berusaha untuk mendapatkan maklumat terkini dalam bulan Mac 2021. Pelbagai sumber akan dipetik di sini: laman-laman web dan juga catatan penulis sendiri semasa keluar membeli-belah di Frankfurt. Diharap anggaran ini dapat menjadi panduan awal kepada setiap pelajar Malaysia yang bakal atau baru tiba di Jerman.

(Sila hubungi penulis di facebook atau Twitter @HafizVonPJ untuk meminta izin menggunakan imej-imej dan isi-isi blogpost yang ini atau sebelumnya.)

Rajah 1: Carta aliran (flow chart) perbelanjaan bulanan seorang pelajar bujang di Jerman, dari atas hingga ke bawah [Penggunaan piawai DIN 66001].

Faktor-faktor yang mempengaruhi anggaran (constraints)

  • tempat/lokasi: Frankfurt am Main, Friedberg (Hessen),
  • masa: status carian dalam Mac 2021,
  • umur: umur pelajar bujang tidak melebihi 30 tahun (mempengaruhi insurans),
  • kursus: sarjana muda / sarjana universiti, kursus bahasa Jerman (jangka pendek).

Perbelanjaan minimum bulanan setiap pelajar

Perbelanjaan minimum setiap bulan merangkumi komitmen berikut:

  • sewa tempat tinggal dan kos tambahan (elektrik, gas, haba/pemanas, Internet)
  • insurans kesihatan
  • telefon bimbit + data
  • tiket pengangkutan awam
  • toiletries
  • bahan-bahan dapur

Sewa tempat tinggal

Satu peraturan praktikal atau Faustregel (rule of thumb, general rule) yang diamalkan oleh penulis: sewa bulanan seharusnya KURANG daripada 1/3 (33.33%) daripada wang poket bulanan masing-masing.

Asrama pelajar selalunya ditadbir oleh Studentenwerk: satu organisasi dalam setiap universiti di Jerman. Sepanjang pengalaman penulis, permintaan untuk bilik sewa asrama pelajar adalah sentiasa tinggi - daripada pelajar-pelajar berkerakyatan negara asing kepada rakyat negara Jerman sendiri yang datang dari bandar-bandar lain.

Di alma mater penulis: TH Mittelhessen (kampus Friedberg), bilik 12 m² dalam satu apartmen kongsi 8 bilik (8-er Wohngemeinschaft/WG) boleh disewa sebanyak 202 sebulan [Studentenwerk Gießen, 2021-03-14].

Rajah 2: Bilik sewa 12 m² yang didiami oleh penulis di asrama pelajar di Friedberg (Hessen) dari September 2006 hingga November 2009.

Bilik sewa asrama selalunya menjadi pilihan utama - kerana bayaran sewa itu 'warm': yakni telah mencakupi kos Internet, elektrik, air, dan haba/pemanas. Jika sebaliknya, sewa akan dipanggil 'kalt' (sejuk).

Sekiranya pelajar memilih untuk atau tiada pilihan selain daripada menyewa bilik di rumah-rumah biasa, kos bulanan berikut perlu dipertimbangkan:

[Check24.de, 2021-03-14, isi rumah: seorang]

  • elektrik: € 36 (Friedberg), € 33 (Frankfurt)
  • gas: € 27 (Friedberg, Frankfurt): bergantung kepada jenis rumah

Kos-kos tambahan (Nebenkosten) adalah berbeza-beza mengikut ketetapan tuan rumah: haba/pemanas, khidmat penyelenggaraan lif, pengurusan sampah, dan lain-lain.

Nota selingan: Studentenwerk juga memberikan terlibat dalam hal-hal berikut:

  • pentadbiran dewan makan setiap kampus universiti
  • khidmat nasihat untuk pinjaman pendidikan (seperti PTPTN)
  • khidmat nasihat biasiwa melalui pihak ketiga
  • khidmat nasihat tentang insurans: kesihatan, liabiliti (Haftpflichtversicherung), etc
  • peluang pekerjaan sambilan untuk pelajar

Perkhidmatan Studentenwerk juga disokong melalui sebahagian daripada yuran semester setiap pelajar. Sebab itulah harga makanan di dewan makan universiti lebih murah untuk pelajar universiti, berbanding dengan harga untuk kakitangan universiti dan orang-orang luar yang datang dari tempat berdekatan. Orang-orang luar, malahan orang-orang korporat tidak segan untuk datang makan di dewan makan universiti, kerana mereka membayar harga yang setimpal dan suka dengan kualiti makanan di situ yang selalunya dikawal ketat (bersih, sihat, berpatutan).

Insurans kesihatan

Terdapat insurans jenis awam (public, gesetzlich: government-regulated) dan persendirian (private). Rata-rata pelajar memilih jenis awam. Laman web berikut menyatakan bahawa purata harga premium insurans bulanan untuk pelajar ialah € 112 [Finanztip: Krankenversicherung Student, 2021-03-14].

Dalam laman web di atas juga tertulis bahawa purata harga insurans kesihatan awam bagi pelajar bujang berumur 30 tahun ke atas ialah € 208 sebulan.

Internet

Langganan khidmat Internet hanya perlu jika pelajar tinggal menyewa di luar asrama. Untuk kelajuan download 100 MBit/s, penulis mencadangkan pelajar berbelanja tidak lebih daripada € 30 sebulan.

Rajah 3: Perbandingan harga langganan Internet jenis DSL di Check24.de (2021-03-14).

Telefon bimbit dan pakej data

Kini, kerana terdapat pelbagai syarikat telekomunikasi yang saling bersaing, semua pengguna mempunyai pilihan yang amat banyak. Penulis mencadangkan pelajar berbelanja kurang daripada € 15 sebulan untuk telefon bimbit dan pakej data.

Rangkaian WiFi yang luas di universiti (dalam bilik/dewan kuliah, perpustakaan, dewan makan) memudahkan pelajar untuk tidak memerlukan pakej data yang besar. Penulis sendiri berpuas hati dengan pakej data 2 GB sebulan dari zaman pelajar hinggalah sekarang.

Rajah 4: Perbandingan harga kad SIM termasuk pakej data untuk telefon bimbit di Check24.de (2021-03-14).

Tiket pengangkutan awam (bulanan)

Rajah 5: Contoh kad elektronik pelajar di TH Mittelhessen. Setiap semester, kad ini perlu dikemaskini di mesin-mesin tertentu dalam kampus - tempoh sah penggunaaan Semesterticket akan dikemaskini di bahagian 'Aufdruck AStA-Semesterticket'. Kad ini juga digunakan untuk membayar di dewan makan dan meminjam buku di perpustakaan universiti [THM-Benutzerkonto aktivieren, 2020-03-14].

Di negeri Hessen dan Nordrhein-Westfalen, yuran semester pelajar juga merangkumi Semesterticket: tiket pengangkutan awam yang sah digunakan sepanjang semester, selagi pelajar masih berdaftar di universiti (immatrikuliert). Jenis-jenis pengangkutan awam yang boleh digunakan dengan Semesterticket ini ialah:

  • bas
  • Straßenbahn: tram
  • S-Bahn: keretapi bawah tanah
  • U-Bahn: keretapi bawah tanah
  • Regionalbahn (RB) / Regional-Express (RE): keretapi jarak jauh

Di TH Mittelhessen - yuran Summer Semester 2021 ialah € 280.32 - termasuk € 132.95 untuk Semesterticket [THM Übersicht Semesterbeiträge, 2021-03-14].

Manakala di Frankfurt Uni. of Applied Sciences pula, yuran Summer Semester 2021 ialah € 361.07 - termasuk € 214.57 untuk Semesterticket [Frankfurt UAS: Semesterbeiträge, 2021-03-14].

Sekiranya anda masih lagi bukan pelajar universiti, kemungkinan besar syarikat pengangkutan awam di bandar anda di Jerman menawarkan harga khas untuk individu daripada kategori pelajar tanpa Semesterticket, Praktikant (intern), Auszubildende (apprentice), atau sukarelawan. Di negeri Nordrhein-Westfalen pula terdapat tiket berharga serendah € 62.20 sebulan [YoungTicket, VRR 2021-03-14].

Tiket pengangkutan bulanan tidak semestinya menjadi keperluan, kerana setiap individu mudah sahaja berbasikal untuk pergi ke mana-mana dalam bandar masing-masing.

Toiletries

Penulis selalu berkunjung ke dm atau ROSSMANN untuk membeli toiletries seperti deodoran, gel rambut, dan lain-lain.

Rajah 6 (a): Kedai ROSSMANN di jalan Zeil, berdekatan dengan stesen Konstablerwache, Frankfurt am Main.

Rajah 6 (b): Kedai dm di jalan Zeil, berdekatan dengan stesen Konstablerwache, Frankfurt am Main.

Syarikat dm dan ROSSMANN masing-masing ada laman web sebagai tempat rujukan harga terkini setiap produk yang dijual:

Bahan-bahan dapur

Penulis hanya dapat memberikan anggaran kasar di sini: € 15.00 hingga € 20.00 seminggu untuk bahan-bahan mentah berkemungkinan lebih daripada cukup untuk seorang pelajar bujang (bergantung kepada selera makan masing-masing).

Berikut ialah pasaraya-pasaraya di Jerman yang mesra poket pelajar:

  • Penny
  • Lidl
  • Aldi Süd
  • Aldi Nord
  • Norma

Bergantung kepada lokasi setiap cawangan, harga bahan-bahan mentah seperti sayur-sayuran dan daging mungkin berbeza-beza kerana bergantung kepada bekalan tempatan (region-based).

Daging ayam dan lembu halal

Pada petang Jumaat, 12 Mac 2021, penulis telah mengunjungi satu kedai runcit komuniti Turki tertentu di Frankfurt untuk meninjau harga semasa daging ayam dan lembu. Berikut ialah hasil catatan penulis sendiri:

  • Ayam seekor: € 2.99 / kg => € 3.00 / kg
  • Dada ayam: € 6.99 / kg => € 7.00 / kg
  • Betis ayam (drumstick): € 3.49 / kg => € 3.50 / kg
  • Peha + betis ayam penuh: € 1.99 / kg => € 2.00 / kg
  • Kepak ayam: € 2.99 / kg => € 3.00 / kg
  • Ayam belanda: € 5.99 / kg => € 6.00 / kg
  • Daging lembu: € 9.99 / kg => € 10.00 / kg
  • Daging cincang (lembu + kambing): € 4.99 / kg => € 5.00 / kg
Rajah 7: Seksyen daging atau Fleischerei/Metzgerei di dalam satu pasaraya komuniti Turki di Frankfurt - berdekatan dengan rumah sewa lama penulis dari 2017 hingga 2019 (bukan kedai yang dikunjungi oleh penulis pada 12 Mac 2021). Pasaraya yang bernama Intermarkt ini, sepanjang pengetahuan penulis setakat ini, ialah pasaraya halal yang terbesar di Frankfurt.

Perbelanjaan sampingan

Gunting rambut lelaki:

Penulis selalu ke kedai gunting rambut setiap 2 bulan. Sebelum zaman COVID-19, penulis masih ingat bahawa purata harga guntingan biasa ialah € 13.00 di Frankfurt. Kini harga guntingan biasa untuk lelaki telah naik kepada sekurang-kurangnya € 15.00.

Dobi layan diri (self-service):
Rajah 8: Senarai harga di satu kedai dobi layan diri berdekatan dengan rumah sewa penulis di Frankfurt.

Penulis menganggarkan harga penggunaan mesin basuh di asrama pelajar adalah serendah € 2.00 untuk sekali basuhan (sabun dan pelembut seperti Softlan: bawa sendiri).

Kesimpulan

Pengiraan kos hidup seorang pelajar bujang di Jerman adalah sangat rumit. Tetapi penulis masih berpendapat bahawa secara umumnya kos tersebut adalah rendah, sebelum mengira faktor sewa tempat tinggal.

Pada pendapat penulis, seorang pelajar bujang dapat hidup selesa di Jerman dengan wang poket bulanan dari € 800 ke atas, tanpa perlu bekerja sambilan.

Sekiranya pelajar peka terhadap keperluan masing-masing, beberapa perbelanjaan dapat dielakkan atau dikurangkan.

Penulis menggalakkan pelajar berjimat-cermat. Duit baki selepas menyelesaikan komitmen bulanan haruslah diutamakan untuk simpanan dahulu, sebelum pelajar berjoli.