Friday, November 20, 2020

Demografi mahasiswa Malaysia di Jerman

Di sini penulis ingin lebih merumuskan demografi mahasiswa Malaysia di negara Jerman, setelah pernah menulis satu thread tentang topik ini di Twitter.


Latar belakang penulis dan disclaimer

  • 2008 - Setiausaha Agung MARA Kumpel (majlis mahasiswa MARA di Jerman, 2nd ranking member)
  • 2009 - Setiausaha Agung Malaysian-German Students' Society (MGSS), selama beberapa bulan sebelum meletakkan jawatan tanpa menamatkan penggal.
Oleh sebab penulis telah tamat pengajian peringkat pasca-siswazah pada awal 2015, maklumat-maklumat di bawah mungkin bercanggah dengan keadaan terkini.


Pembahagian kumpulan mahasiswa

Di dalam thread itu, saya cuba menyatakan bahawa mahasiswa Malaysia di Jerman dapat dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Tapi ini tidak bermakna setiap mahasiswa hanya tergolong dalam satu kumpulan sahaja.

 

Kluster: penaja

Gambarajah ini menunjukkan penaja-penaja mahasiswa Malaysia di Jerman.


Penaja-penaja utama mahasiswa Malaysia di Jerman.





Kluster: negeri pengajian

Negeri-negeri Jerman berikut mempunyai bilangan mahasiswa Malaysia yang teramai:

  • Bayern (Bavaria)
  • Nordrhein-Westfalen
  • Baden-Württemberg

Ada juga yang belajar di negeri Niedersachsen (Lower Saxony), Sachsen (Saxony) dan bandaraya-bandaraya Berlin, Bremen dan Hamburg.

Peta negara Republik Persekutuan Jerman [1].

Kluster: institusi persediaan (pra-universiti) di Malaysia

Sepanjang pengetahuan penulis, terdapat 3 institusi di Malaysia yang menawarkan program pra-universiti untuk pengajian di negara Jerman:

  • German-Malaysian Institute, Bangi
  • International Education Center (INTEC), UiTM Shah Alam
  • First City University College (dahulunya dikenali sebagai Kolej Bandar Utama, KBU)

Gambarajah berikut menunjukkan institusi-institusi tersebut yang dihadiri oleh pelajar-pelajar daripada penaja-penaja yang berbeza:

Institusi pra-universiti di Malaysia untuk persediaan pelajar untuk pengajian di Jerman.

Kluster: organisasi mahasiswa Malaysia di Jerman

Ada 2 pertubuhan utama yang dianggotai oleh mahasiswa Malaysia di Jerman:

  • MGSS: keahlian terbuka kepada semua pelajar Malaysia di Jerman, tidak tertakluk kepada peringkat pengajian atau penaja, tetapi didominasi oleh mahasiswa tajaan JPA.
  • MARA Kumpel: Kumpel - istilah bahasa pasar Jerman yang bermaksud rakan, untuk mahasiswa tajaan MARA.

Dahulu pernah ada polemik tentang penubuhan MARA Kumpel, kerana dibimbangi memecahbelahkan mahasiswa Malaysia di sini. Tetapi harus dipertimbangkan juga bahawa memang kesemua mahasiswa ini telah pun berkelompok dari dahulu lagi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan (lihat kluster-kluster lain di atas).

MARA Kumpel sebenarnya lebih kepada satu jawatankuasa untuk menguruskan kebajikan mahasiswa tajaan MARA, terutamanya tentang urusan kewangan (tuntutan elaun, bayaran yuran), dan laporan keputusan peperiksaan semester.

Terdapat persetujuan tidak bertulis antara MARA Kumpel dan MGSS: ahli-ahli MARA Kumpel tidak perlu menyertai MGSS (yakni membayar yuran keahlian), kerana mereka telah pun membayar 'sumbangan' tahunan kepada MARA Kumpel. Mahasiswa MARA dibenarkan menyertai aktiviti-aktiviti MGSS. Sebagai balasan, setiap tahun MARA Kumpel, dengan bajet sendiri perlu mengatur satu aktiviti (terutamanya RENTAP) yang boleh disertai oleh ahli-ahli MGSS.

Kluster: organisasi berteraskan politik dan agama

Di Jerman juga terdapat kehadiran Kelab UMNO Jerman (2 cawangan) dan Kelab Bunga Raya Jerman. Selain itu, sejak beberapa tahun lepas wujud satu pertubuhan bernama AZIM Jerman, yang bermatlamat mengisi aktiviti-aktiviti kerohanian bagi mahasiswa Muslim Malaysia di sini.

Sumber:

[1] OnTheWorldMap


Wednesday, November 18, 2020

Pengajian Universiti di Negara Jerman Bagi Lepasan SPM

Tulisan ini adalah pelengkap untuk satu thread yang telah saya tulis di Twitter pada 2 April 2020. Di sini saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dan pengetahuan saya tentang pengajian peringkat ijazah di negara Jerman ini, terutamanya tentang persediaan (pra-universiti) di Malaysia.

Ketika itu thread berkenaan ditujukan kepada lepasan SPM 2019 dan bakal-bakal calon SPM 2020. Oleh sebab COVID-19 telah melanda satu dunia, nampaknya SPM 2020 semakin tidak realistik. Maka saya tujukan juga perkongsian ini untuk calon-calon SPM 2021 pula. (Thread itu ada di penghujung artikel ini di bawah sekali)

Latar belakang penulis

Penulis di Berlin.

Akademik:

  • Sijil Pelajaran Malaysia, MRSM Jasin (kini MRSM Tun Ghafar Baba)
  • German A-Level Preparatory Program, German-Malaysian Institute (GMI), Kuala Lumpur
  • Diplom-Ingenieur (FH) Mechatronics Engineering, Uni. of Applied Sciences Mittelhessen (Campus Friedberg)
  • M. Sc. Computer Vision and Photonics, Darmstadt Uni. of Applied Sciences

Cocurricular:

  • Ketua pelajar A-Levels GMI, batch 2003/2005
  • Ahli Majlis Perwakilan Pelajar GMI, 2003/2004
  • Setiausaha Agung MARA Kumpel (majlis pelajar MARA di Jerman), 2008
Bidang pekerjaan:
  • robotics
  • industrial computer vision 
  • financial services (dari pertengahan 2017 hingga kini)

Langkah pertama selepas SPM

Selepas tamat SPM, bakal pelajar harus menyelidik apakah program-program yang ditawarkan oleh MARA dan JPA. Bagi mereka yang tidak memerlukan biasiswa yakni bakal pelajar persendirian, bolehlah merujuk terus kepada program A-Level di gmi.edu.my.

Persediaan di Malaysia dijangka mengambil masa setahun setengah, dengan intake setahun sekali, pada bulan Julai.

German-Malaysian Institute, kini di Bangi.

Program A-Level di GMI kebiasaannya disertai oleh pelajar tajaan MARA, JPA, yayasan tertentu dan persendirian. Majoriti pelajar JPA selalunya menjalani program persediaan di INTEC UiTM dan First City Universiy College (dahulunya dikenali sebagai KBU). Saya juga telah dimaklumkan bahawa sudah pun ada pelajar-pelajar MARA yang juga mengikuti persediaan di INTEC.

Penulis bersama rakan-rakan sekelas di GMI Kuala Lumpur.
 

Dari program persediaan di GMI ke negara Jerman

Laluan ke Jerman melalui GMI dapat dirumuskan seperti berikut:

  1. A-Levels (Physics, Mathematics, Chemistry) + bahasa Jerman hingga tahap pertengahan + latihan asas industri - di Malaysia (22 bulan)
  2. Kursus persediaan akhir bahasa Jerman intensif + ujian terakhir bahasa Jerman tahap universiti - di Jerman (6 bulan).
    • di sini, pelajar-pelajar akan dibahagikan kepada kumpulan yang akan menjalani kursus intensif bahasa Jerman di institut yang berbeza.
  3. Universiti: pengajian bermula dari semester pertama

Kursus-kursus kejuruteraan di negara Jerman

Contoh-contoh kursus teknikal yang boleh dipilih:

  • Mechatronics engineering
  • Technical computer science
  • Physikalische Technik (susah untuk diterjemahkan)
  • Optical engineering and industrial computer vision
  • Plastics engineering
  • Chemical engineering, etc

Kenapa belajar di negara Jerman

  • Kos pengajian universiti dan kos hidup pelajar yang rendah
  • Kelengkapan universiti awam yang sangat baik
  • Accessibility untuk bahan-bahan ilmiah (perpustakaan dan akses percuma untuk scientific research articles)
Penulis semasa mengulangkaji subjek Robotik untuk peperiksaan semester.
  • Teknologi tinggi di industri - tidak perlu dipertikaikan lagi.
 
Penulis semasa bekerja dalam bidang robotik di Jerman, tahun 2016.
  • Lokasi Jerman yang strategik untuk mengembara ke negara-negara Eropah yang lain. 
Penulis dan rakan-rakan di Camp Nou - stadium rumah FC Barcelona

Penulis dan rakan-rakan di Istanbul

Penulis dan rakan-rakan di Saint Peter's Square.
  • Reputasi universiti-universiti awam Jerman: kelulusan dari Jerman akan memudahkan anda untuk mencari pekerjaan di dalam Jerman.

Fachhochschule, Hochschule dan Universität

Majoriti pelajar Malaysia akan mengaji di Fachhochschule atau Hochschule (university of applied sciences). Ada juga yang memilih Universität. Kedua-dua sistem universiti tersebut berbeza.

Di Fachhochschule (FH) atau Hochschule (HS), pengajian lebih menekankan sistem praktikal: lebih sesi makmal & latihan industri.

Manakala di Universität pula terdapat sistem klasik yang lebih mengutamakan pengetahuan teori. Universität juga menawarkan pengajian sehingga peringkat PhD.

Kedua-dua universiti menawarkan ijazah Bachelor dan Master.

Kelebihan di Fachhochschule/Hochschule:

  • Nisbah bilangan pelajar kepada pensyarah lebih rendah berbanding di Universität.
  • Saiz kuliah atau kelas lebih kecil - maka mudah untuk mendapatkan perhatian atau pertolongan daripada pensyarah.

Pesanan kepada pelajar-pelajar Malaysia di Jerman oleh MEC

Malaysia Engineering Community atau MEC - ialah satu pertubuhan baru yang ditubuhkan oleh sekumpulan jurutera Malaysia di Jerman, yang majoritinya terdiri daripada graduan universiti-universiti Jerman. Satu soal selidik telah diadakan pada bulan Julai 2020 tentang nasihat-nasihat yang ingin dikongsikan dengan bakal-bakal pelajar di negara Jerman. Graf di bawah merumuskan nasihat-nasihat tersebut, mengikut undian:

Tips oleh MEC untuk pelajar-pelajar Malaysia di Jerman.
 

Disclaimer dan akhir kata

Ada kemungkinan maklumat-maklumat di atas telah berubah mengikut keadaan semasa.
 
Banyak cabaran yang akan dihadapi oleh pelajar-pelajar Malaysia di perantauan. Saya memilih untuk tidak menghuraikan pengalaman milik diri sendiri mahupun rakan-rakan lain di blogpost ini. Hanya off the record sahaja.
 
Akhir kata, jika anda memilih untuk ke Jerman, saya ucapkan Viel Erfolg - selamat berjaya.
Penulis di Burg Eltz (Eltz Castle).